18 July 2012

MB: Selangor hantar pasukan profesional pantau operasi harian SYABAS

SHAH ALAM, 18 Julai — Selangor akan menghantar kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) untuk mengenalpasti keadaan semasa air terawat di negeri tersebut, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Adun Ijok itu lagi, kumpulan profesional tersebut dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pegawai Eksekutif KDEB), Ir Abas Abdullah (Pengarah ABASS), Karim Endut (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kelvin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor) dalam sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

“Kumpulan profesional ini dihantar kepada SYABAS kerana mereka gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi,” kata Khalid Ibrahim.



Kerajaan Selangor yakin SYABAS dapat bekerjasama dengan kumpulan profesional tersebut kerana mereka berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air.
“Kerajaan negeri juga sudah menyediakan surat untuk memaklumkan hasrat untuk ‘step in’ dalam pengurusan SYABAS kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Ahli Exco Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi untuk menghantar surat ini ke Putrajaya pada petang ini secara peribadi kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) kerana Kerajaan Negeri berpendirian bahawa isu ini penting diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata Menteri Besar (MB) Selangor itu lagi.

Kerajaan Selangor juga berharap Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutamanya kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.
“Kami konsisten dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air merupakan penyelesaian holistik serta menguntungkan rakyat seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006,” kata MB lagi. - TMI