SHAH ALAM - Seorang anggota polis maut selepas
terjatuh menara komunikasi bersebelahan bangunan Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Sepang, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino
Zaludin berkata, mangsa, Konstabel Mohd Urin Subaiton, 27, dilihat
memanjat menara komunikasi setinggi 60 meter itu ketika peserta kursus
lain sedang berehat untuk minum pagi.
Mangsa dari Bahagian Tugas Am, Balai Polis Sungai Buloh menyertai
kursus asas menunggang motosikal ringan kelas B2 selama lima hari di IPD
Sepang, bermula Isnin lalu.
Zaldino berkata, sebelum kejadian berlaku jam 10.15 pagi itu, mangsa
difahamkan baru sahaja keluar untuk ke tandas, kira-kira 10 minit
sebelum waktu rehat kursus yang dihadirinya berakhir.
Menurutnya, terdapat pegawai serta anggota lain yang menyedari tindakan
mangsa dan cuba memujuknya untuk turun dari menara terbabit.
"Mangsa tidak mengendahkan pujukan itu, sebaliknya terus terjatuh dari menara tersebut.
"Mangsa yang cedera parah di kepala dan tapak kaki meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Zaldino berkata, setakat ini, motif kejadian dikenal pasti ada kaitan dengan masalah kemurungan.
Katanya, menurut peserta yang menginap bersama mangsa sepanjang kursus
dijalankan, mangsa gemar bersendirian dalam bilik dan tidak banyak
bercakap dengan peserta lain.
"Semakan yang dibuat mendapati, mangsa tiada masalah disiplin dari segi tatacara kerja atau terlibat dadah," katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat
mangsa berasal dari Semporna, Sabah itu dihantar ke Hospital Serdang
untuk dibedah siasat.
Zaldino berkata, mangsa berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama tiga tahun sejak 16 Julai 2009. - SH
* Kalau di negara maju, polis di sana akan menyiasat punca kemurungan tersebut. Kemungkinan unsur jenayah atau unsur buli dan sebagainya akan diambil kira. Di Malaysia kalau dari awal sudah kata 'kemurungan' atau 'gila', kita boleh agak penghujung kes ini...