12 July 2012

MARA akan selesai isu pinjaman anak Syed Hamid

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini memberi jaminan akan menyelesaikan masalah berhubung tawaran pinjaman pelajaran anak seorang pemimpin PKR yang telah ditarik balik.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abd Rahim Abd Ghani memberi jaminan masalah anak pemimpin PKR Batu Pahat Syed Hamid Ali itu akan diselesaikan dalam waktu yang terdekat.

"MARA akan selesaikan isu ini dalam waktu terdekat agar isu ini selesai. Segala tindakan (yang akan diambil) berasas dan akan dijustifikasikan," kata Abd Rahim ketika ditemui Malaysiakini di ibu pejabat MARA petang ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bila dan bagaimana perkara itu akan diselesaikan.

Selain itu, ketika ditanya bagaimana 'kesilapan' itu boleh terjadi, Abd Rahim enggan mengulas lanjut.

Semalam Malaysiakini melaporkan tawaran pinjaman pelajaran  ke luar negara kepada anak Syed Hamid, Akmal Hakim, 17, ditarik balik kerana MARA mempertikaikan statusnya sebagai seorang Melayu.

Menurut adik kepada bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, beliau menerima surat pembatalan melalui kurier pada 23 Jun setelah MARA mendapati beliau didaftarkan sebagai 'Arab' ketika dilahirkan. - Mkini

No comments:

Post a Comment