SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk
meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas
semula negeri itu tetapi ia akan dilakukan melalui pendekatan berbeza
demi kepentingan rakyat.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata jika dasar
itu dilaksanakan, ia akan dibuat dengan lebih menyeluruh termasuk
menambah bilangan meter padu air percuma dan memastikan seluruh rakyat
Selangor menikmatinya.
"Kalau sekarang dia (pembangkang) beri air percuma tetapi tidak semua
rakyat dapat. Beratus ribu rumah yang mempunyai meter pukal tidak dapat
faedah ini dan adakah orang kaya pun nak dapat juga air percuma ini.
"Apa juga dasar dibuat untuk kebaikan rakyat kita kena teruskan tetapi
selesaikan dulu masalah meter pukal terlebih dahulu," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor
anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), di sini
hari ini.
Beliau berkata, BN tidak boleh membuat dasar yang hanya menguntungkan
segelintir rakyat dan tidak memberi makna kepada orang yang tidak
memerlukan seperti golongan kaya.
Turut hadir Menteri KeTTHA Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan timbalannya Datuk Noriah Kasnon serta Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga
Holdings dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Tan Sri Rozali Ismail.
Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan, isu
pokok kerajaan BN masa ini ialah bagi memastikan bekalan air mencukupi
selari dengan keperluan rakyat.
"Apapun kita mesti ingat kalau nak buat dasar (air percuma), air mesti
ada... kalau isytihar air percuma sekalipun kalau tidak ada air tidak
guna dasar itu kerana tidak mungkin dapat dilaksanakan," katanya.
Ketika diajukan soalan sama ada beliau sedia berdebat dengan Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu air, Noh
berkata, perkara itu hanya akan membuang masa.
Beliau berkata, situasi pada masa kini jelas menunjukkan bekalan air di
negeri itu semakin berkurangan sehingga boleh menyebabkan berlakunya
krisis air.
"Buat dulu Langat 2, ada air baru kita debat tentang siapa nak uruskan
dan tarif air baru. Tindakan debat semua buang masa dan politik murahan
kerajaan negeri, bukan untuk kepentingan rakyat," katanya. - Bernama
* Kalau janji air percuma bila Umno perintah, itu Pakatan sedang buat dan sedang dirasai nikmatnya oleh rakyat. Umno perlu beri janji lain seperti elektrik percuma pula tapi kena buktikan di negeri yang Umno perintah...
No comments:
Post a Comment