MELAKA - Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat
dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari
selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang pada Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt P.R. Gunarajan
berkata suspek lelaki berbadan gempal berusia 24 tahun itu ditahan
bersama seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dalam satu operasi khas di
sebuah hotel bajet di Batu Berendam di sini pada 3 petang semalam.
"Dari maklumat yang diberi suspek, seorang penggangur, polis dapat
menemui sebuah beg yang dicampak di dalam semak di belakang sebuah hotel
di Tengkera dan menemui kad pengenalan mangsa, lesen memandu, dan juga
kad Bonuslink," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Barang-barang tersebut disahkan kepunyaan si mati oleh keluarga mangsa
dan percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan pihak polis.
Katanya ketika diberkas, suspek yang dipercayai membawa motor semasa
kejadian ragut itu, terjun dari tingkat satu bangunan hotel tersebut
ketika cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap pihak polis.
Beliau berkata hasil siasatan polis merampas dua motosikal yang dikesan
motosikal curi di mana satu daripada motosikal tersebut dipercayai
telah dibawa suspek semasa kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan sehingga hari ini menunjukkan kumpulan itu terlibat dalam 25 kes di seluruh Melaka.
Dalam kejadian 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35, yang
menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke
tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di
kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik
bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli
dadah.
Katanya kedua-dua suspek yang ditahan juga positif dadah jenis
methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya seorang lagi rakan suspek dalam kes ragut kerani wanita itu
ditahan pada 9 Julai lalu, ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia
20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok.
Hasil siasatan remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa. - Bernama
No comments:
Post a Comment