Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan perdana menteri memansuhkan Akta
Hasutan 1948 tetapi menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional
membuktikan Datuk Seri Najib Razak seorang 'demokrat palsu'.
Naib
presiden PKR itu berkata, tindakan itu tidak membawa makna apa-apa
kerana akta baru itu didakwa mempunyai "kuasa-kuasa drakonian" yang
sama.
"Ibarat
menggantikan tubuh badan antidemokrasi dengan baju baru drakonian yang
sama lusuh; demi membuktikan bahawa beliau seorang demokrat sejati dan
bukannya seorang demokrat palsu," kata puteri sulung Datuk Seri Anwar
Ibrahim itu.
Najib semalam berkata, pengenalan akta baru itu
bertujuan mencari mekanisme bagi menentukan keseimbangan terbaik antara
menjamin kebebasan bersuara dan keperluan menangani kompleksiti
kemajmukan di negara ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Nurul
Izzah menyifatkan langkah terbaru itu sebagai "transformasi layu lagi
lesu" kerana ia didakwa hanya helah politik.
Berdasarkan
rekod, dakwanya lagi, ciri-ciri "demokrat palsu" itu boleh dilihat
antaranya dengan langkah sebelum ini seperti penggantian ISA dengan Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pengenalan Akta
Keterangan (Pindaan) 2012.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu memansuhkan Akta Hasutan tanpa menggantikannya dengan akta lain yang sama.
"PKR juga menggesa Najib mewujudkan jawatankuasa khas parlimen (JKP)
yang bersifat bipartisan untuk mengkaji secara menyeluruh Akta
Keharmonian Nasional yang beliau cadangkan, di mana JKP ini harus diberi
mandat untuk membincangkan perihal perpaduan sosial dan perhubungan
antara kaum," katanya.
Akhbar Kanada The Globe and Mail pada
8 Jun lalu memuatkan artikel wartawan terkenal Mark Mackinnon yang
mengkategorikan Najib sebagai "demokrat palsu", sebaris dengan autokrat
seperti Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Palestin Mahmoud
Abbas. - Mkini
No comments:
Post a Comment