SHAH ALAM - Komponen Pakatan Rakyat (PR) mencabar polis menunjukkan
bukti jika benar parti-parti politik pembangkang diresapi pengganas
Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan
komunis, yang cuba menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang kenyataan
yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam "bertujuan jahat"
ke atas pembangkang menjelang PRU13.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin sokongan kepada PR
khususnya Pas, yang dinamakan secara langsung dalam kenyataan semalam,
tidak akan terjejas.
"Saya minta tunjuk bukti kalau benar dalam Pas ada orang seperti ini
seperti yang didakawa oleh Datuk Mohd Sofian (Md Makinuddin).
"Kami bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan ketika
menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat... kenyataan yang
berniat jahat," kata beliau ketika dihubungi.
Salahuddin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan seumpama
itu sebab pihak berkuasa pernah menggunakan cara yang sama pada
masa-masa lalu.
"Polis pernah membuat kenyataan seperti ini, mengaitkan Pas dengan
kumpulan Al-Maunah, saya melihat tujuan berniat jahat ini berulang
ketika dekat dengan PRU.
"Pas, yang sudah terlibat dalam politik lebih 50 tahun, memilih untuk
menggunakan jalan demokrasi, menerusi pilihan raya untuk menang pilihan
raya," katanya sambil menambah, PDRM tidak harus membuat
kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab.
Laporan media memetik Mohd Sofian, Ketua Penolong Pengarah E2 (M),
Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman berkata, terdapat pengganas
JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada PRU13.
Mohd Sofian berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba
meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.
"Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering
berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk
mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis
Malaya (PKM) di sana.
"Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan
nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat
sokongan daripada badan bukan kerajaan asing yang membantu dari segi
kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada
kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya bertajuk
"Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda
Negara anjuran Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan
Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru
dan Majlis Belia Malaysia.
Sehubungan itu, kata Salahuddin, pihaknya akan membincangkan tindakan ke atas pegawai polis berkenaan.
"Kami akan membincangkan tindakan yang hendak diambil dalam waktu terdekat," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad juga
mencabar PDRM mengeluarkan bukti jika benar wujud elemen-elemen
sedemikian.
Sambil menegaskan pihaknya tidak terkejut dengan laporan tersebut, Ahli
Dewan Undangan Negeri Selangor ini berkata, "kenyataan-kenyataan
seperti ini, yang dibuat oleh polis, bukan perkara baru."
"Saya pun boleh buat kenyataan seperti ini. Buktikan siapa mereka, namakan individu terbabit, kita pun hendak tahu.
"Saya mencabar beliau bertanding pilihan raya jika berminat untuk
bercakap mengenai politik," kata beliau yang yakin bahawa sedar dan tahu
tentang keadaan sebenar, dan sokongan mereka tidak akan terjejas.
"Ini taktik Barisan Nasional menggunakan polis untuk membuat
kenyaatan-kenyataan seperti ini menjelang PRU. Rakyat tahu," katanya
lagi. - SH
