AMMAN 19 Julai - Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan berada di
bandar pelabuhan Latakia yang dihuni majoriti puak Alawite pimpinannya
dan mengarahkan dilancarkan tindakan balas terhadap pembunuhan tiga
orang kanannya, kata pemberontak dan diplomat Barat, semalam.
Pemberontak berkata, Assad yang tidak muncul di khalayak ramai sejak
serangan berani mati yang mengakibatkan kematian abang iparnya dan dua
pemimpin kanan tentera itu semalam, menguruskan operasi kerajaan dari
bandar tersebut.
Tidak dapat dipastikan sama ada Assad berada di bandar peranginan di
kawasan Laut Mediterranean itu sebelum atau selepas serangan berani itu.
‘‘Maklumat yang kami terima menyatakan Assad berada di Istana
Presiden di Latakia dan beliau mungkin berada di sana selama beberapa
hari,’’ kata seorang tokoh pembangkang yang enggan dikenali. - Utusan
