KEPALA BATAS - Wanita Umno Bahagian Kepala Batas akan membawa usul
menyokong pelaksanaan hukum hudud di negara ini ke dalam persidangan
perwakilan Umno bahagian itu tidak lama lagi.
Ketuanya, Zabariah Wahab berkata, keputusan itu dibuat kerana usul yang
dibawanya sendiri dalam persidangan perwakilan Wanita Umno Kepala Batas
Sabtu lalu diluluskan sebulat suara oleh 343 perwakilan yang hadir.
Beliau berharap usul yang dibawa dalam persidangan perwakilan Umno
Bahagian Kepala Batas akan mendapat sokongan sebulat suara agar cadangan
itu dapat dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti sebelum
diketengahkan kepada kerajaan.
“Usul ini juga akan dipanjangkan kepada kepimpinan Wanita Umno Malaysia
dan negeri untuk rujukan dan tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar
Harian di sini semalam.
Menurutnya, Wanita Umno Bahagian Kepala Batas adalah bahagian pertama
dari Pulau Pinang yang meluluskan usul agar hukum hudud dilaksanakan di
negara ini.
“Saya sendiri bawa usul ini kerana memikirkan kepentingan dan
kebaikannya kepada umat Islam di negara ini. Kita kena patuh sebab ini
adalah hukum ALLAH,” katanya.
Zabariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, berkata,
Wanita Umno Kepala Batas menyanjung tinggi usaha melaksanakan hudud di
negara ini namun, ia memerlukan perbincangan dan penelitian pihak yang
arif berkaitan agama terlebih dahulu.
“Tidak timbul hudud Pas atau hudud Umno. Hukum ALLAH hanya satu dan
semua orang perlu patuh, bagaimanapun, nampaknya sekarang ini ia cuba
diputar belit dan dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk dijadikan modal
politik,"katanya. - SH
No comments:
Post a Comment