ihak pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan agar mengetepikan keputusan
Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim
daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari
Azlan.
Pihak pendakwaan juga memohon supaya Ketua Pembangkang
itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan
itu.
Katanya ini kerana Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad
Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan kes liwat itu terkhilaf
dalam memutuskan terdapat keraguan ke atas integriti sampel-sampel DNA
yang diperolehi daripada Mohd Saiful.
Pihak pendakwaan
berkata Mohamad Zabidin telahpun membuat penemuan di akhir kes
pendakwaan bahawa "male Y" yang diperolehi dari profil DNA yang
dianalisis oleh ahli kimia, Dr Seah Lee Hong adalah dari 'semen extract'
(ekstrak air mani) yang mana berpadanan dengan profil DNA yang
diperolehi dari sampel-sampel yang
diambil dari lokap yang dihuni dan digunakan oleh Anwar.
Ini
adalah antara alasan pihak pendakwaan dalam petisyen rayuan yang
difailkan petang Isnin lepas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan
terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang itu daripada tuduhan
meliwat Mohd Saiful.
Dalam petisyen itu pihak pendakwaan mengemukakan 10 alasan.
Pihak
pendakwaan berkata Mohamad Zabidin di akhir kes pendakwaan juga telah
memutuskan bahawa tidak ada jalan untuk pegawai penyiasat DSP Blacious
Judy Pereira menggunakan sampel-sampel DNA yang diperolehi dari sel
lokap itu untuk mengusik sampel-sampel DNA yang diambil daripada Mohd
Saiful.
Ia juga menyatakan bahawa hakim telah bersetuju
dengan pihak pendakwaan bahawa dari manakah pegawai penyiasat itu dapat
memperolehi sampel air mani yang berpadanan dengan profil DNA yang
diperolehi dari sampel-sampel barang-barang yang digunakan oleh Anwar
yang diambil dari lokap itu.
Pihak pendakwaan juga berkata
bahawa hakim itu telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta
apabila mendapati terdapat keraguan terhadap integriti sampel-sampel DNA
yang diperolehi daripada Mohd Saiful sedangkan hakim itu telahpun
memanggil Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat itu di akhir
kes pendakwaan.
"Yang
arif hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila
gagal memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes
melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan berdasarkan
keseluruhan keterangan yang dikemukakan," kata pihak pendakwaan.
Ia
juga berkata Mohamad Zabidin telah terkhilaf dari segi undang-undang
dan fakta dalam menilai semula keseluruhan keterangan berkaitan dengan
pengutipan, pengendalian dan analisis sampel-sampel DNA yang diperolehi
daripada Mohd Saiful.
Hakim itu telah memberi pertimbangan
yang salah kepada keterangan-keterangan saksi-saksi pembelaan iaitu Dr
David Wells and Dr Brian Mc Donald, yang menyatakan pendapat mereka yang
berdasarkan teori-teori yang tidak lengkap dan tidak menyeluruh tanpa
mengambil kira teori-teori-teori dan penulisan-penulisan oleh lain-lain
pakar yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Pihak
pendakwaan berkata hakim itu juga telah terkhilaf dari segi
undang-undang dan fakta apabila gagal menilai kepakaran dan pengalaman
Dr Brian dalam pemeriksaan DNA.
Hakim itu juga telah
terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menimbangkan
bahawa Dr Seah dan ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon telah memberikan
pendapat mereka berdasarkan pemeriksaan dan analisis yang dibuat oleh
mereka sendiri ke atas sampel-sampel DNA tersebut berbanding dengan Dr
David and Dr Brian yang memberikan pendapat mereka hanya berdasarkan
teori-teori sahaja.
"SP5 (Dr Seah) dan (Dr Nor Aidora) SP6
juga telah mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang ditimbulkan oleh
saksi-saksi pembelaan semasa membuat pemeriksaan dan analisis ke atas
sampel-sampel DNA tersebut," kata pihak pendakwaan lagi.
Hakim
itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila
gagal mengambil kira bahawa tidak ada keterangan yang menunjukkan
mana-mana bekas-bekas sampel DNA yang telah dimeteri itu telah dikacau
ganggu.
Ini kerana Dr Seah dan Dr Nor Aidora telah
mengesahkan bahawa meteri pada bekas-bekas sampel DNA yang mereka
perolehi daripada DSP Judy masih utuh.
Pihak pendakwaan
berkata hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila
gagal mengambil kira bahawa terdapat lain-lain keterangan yang menyokong
keterangan Mohd Saiful sepertimana yang telah dinyatakan oleh hakim itu
dalam penemuannya di akhir kes pembelaan.
Hakim itu telah
terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila meletakkan beban
pembuktian yang lebih tinggi dari beban pembuktian melampaui keraguan
yang munasabah ke atas pihak pendakwaan dalam membuktikan kes mereka.
"Oleh
yang demikian, perayu memohon kepada mahkamah yang mulia ini supaya
keputusan yang arif hakim Mahkamah Tinggi dalam melepaskan dan
membebaskan responden (Anwar) diketepikan dan responden dengan itu
disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan,"
kata pihak pendakwaan.
Pada 2 Julai lepas, Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur menyerahkan rekod rayuan, termasuk penghakiman bertulis
setebal 80 muka surat untuk memudahkan pihak pendakwaan memfailkan
rayuan.
Dalam penghakiman bertulis itu, Mohamad Zabidin
memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang
integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful.
Katanya
sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk
dibuat analisis. Oleh yang demikian adalah tidak selamat bagi mahkamah
bergantung kepada keputusan ujian DNA yang dilakukan oleh Dr Seah
terhadap sampel berkenaan.
Pada 9 Januari, Mohamad melepaskan
dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di
sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini
antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Anwar,
65, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment