Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) meminta Datuk Seri Lajim
Ukim melepaskan jawatannya sebagai timbalan menteri perumahan dan
kerajaan tempatan serta sebagai ahli Umno.
Naib Presiden
PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin berkata, perkara itu perlu dilakukan
Lajim sebagai menghormati prinsip demokrasi memandangkan perjuangan
bekas ketua Umno Beaufort itu sudah lagi tidak sehaluan dengan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Kita hormati keputusan
beliau dengan semangat demokrasi dan hak dia untuk memilih wadah
perjuangan dia. Dalam waktu yang sama, demokrasi juga mewajibkan Datuk
Lajim untuk meletakkan jawatan kerana itu juga prinsip demokrasi.
"Dan
hak perdana menteri untuk memilih dan tentukan siapa ahli kabinetnya.
Tidak ada jalan lain lebih bermaruah dan demokrasi selain daripada letak
jawatan dan teruskan perjuangan dengan wadah yang dia pilih," katanya
pada sidang media selepas majlis berbuka puasa PERKASA malam tadi.
Sabtu lalu, Lajim, 57, mengumumkan peletakan
jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian
Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta merta. Beliau
sebelum itu meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Cawangan Kerambai
Kebatu.
Beliau juga menyatakan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan mengenai keanggotaannya dalam
parti
dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jawatannya
sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Selain
itu, Zulkifli turut menasihatkan penduduk Sabah agar tidak terpedaya
dengan slogan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat iaitu 'Sabah untuk Sabah'
yang menurutnya seperti kembali ke zaman sebelum merdeka
"Kita
harus pandang ke hadapan. Sabah kini sebahagian daripada Malaysia. Kita
sepatutnya menghormati pendirian rakyat Sabah dan tak patut putar jam
balik ke belakang kepada perpecahan negara. Orang yang amalkan politik
ini wajib ditolak," kata Zulkifli lagi. - Mkini
* Orang yang bercakap tentang maruah sepatutnya bermaruah dahulu...