KUALA LUMPUR - Polis telah menahan seorang anggota keluarga terdekat
Syaleza Jaffar, 31, eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 yang
ditemui mati di rumahnya di Apartment Saujana, Damansara Damai, Petaling
Jaya lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata,
anggota keluarga tersebut ditahan bagi siasatan lanjut lewat malam tadi
di Segamat, Johor, kampung halaman mangsa.
Polis sudah merakamkan percakapan anggota keluarga itu, katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, hasil siasatan awal Unit Forensik dan Patologi Polis
Selangor, terdapat kesan jerut di bahagian leher dan beberapa kesan
lebam pada tubuh mangsa.
"Bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa," kata Arjunaidi.
Mayat Syaleza dilaporkan ditemui di dalam bilik tidurnya pada pukul 7
malam, setelah pintu bilik dipecahkan kerana dia tidak membuka pintu
apabila dipanggil untuk berbuka puasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama