SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) akan menerima saingan sengit sekiranya
bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin bertanding atas
tiket parti selain dari BN dalam parlimen Beaufort pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13).
Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berpendapat, BN perlu berhati-hati
meletakan calon yang bertanding di parlimen tersebut kerana Lajim
mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
"Satu saingan sengit akan berlaku jika Lajim bertanding di kawasannya,
kerana beliau sudah lama berkhidmat dan rakyat sudah mengenalinya,"
katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, tindakan Lajim yang masih belum melepaskan jawatan Timbalan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, merupakan salah
satu strategi politik beliau.
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, berdasarkan
tindakan Lajim yang sebelum ini melepaskan jawatan dalam Umno dan BN
secara berperingkat, berkemungkinan beliau akan melepaskan jawatan yang
disandang itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka
akan memutuskan kedudukan Datuk Lajim Ukim sebagai Timbalan Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hari ini.
Najib berkata, keputusan Lajim melepaskan tiga jawatanny iaitu adalah sesuatu yang telah dijangkakan oleh beliau dan parti. - SH