BEIRUT 22 Julai - Pertempuran antara tentera
kerajaan Syria dengan pemberontak semakin sengit apabila tentera yang
setia dengan Presiden, Bashar al-Assad menyerbu lebih tiga daerah di
Damsyik ketika pertempuran berlaku di beberapa kawasan perumahan di
bandar terbesar Syria, Aleppo hari ini.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, tentera
kerajaan pimpinan Assad menyerbu daerah Barzeh dengan kereta kebal
selain penembak tepat ditempatkan di atas bumbung bangunan.
"Dua buah helikopter turut melancarkan serangan di Barzeh dan kepulan
asap tebal boleh dilihat di kawasan perumahan tersebut," kata wakil
badan pemantau, Rami Abdel Rahman kepada AFP.
Beliau berkata, tentera turut dikerahkan ke luar bandar Mazzeh,
Damsyik yang menyaksikan seorang maut dan beberapa orang lagi cedera.
Selain Barzeh dan Mazzeh, pertempuran turut berlaku di daerah Tadamon, al-Midan dan Nahr Ayshe.
Pertempuran sengit di Syria menyebabkan berpuluh-puluh ribu rakyatnya
melarikan diri ke negara jiran termasuk Turki, Jordan dan Iraq untuk
menyelamatkan diri.
Ankara menyatakan, kira-kira 40,000 rakyat Syria memasuki Turki sejak konflik itu bermula.
Di Aleppo, pertempuran sengit berlaku sejak kelmarin di daerah Salaheddin dan Sakhur.
Lebih 19,000 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan di Syria sejak
bermulanya pemberontakan rakyat pada tahun lepas, kata Badan Pemantau
Hak Asasi Syria. - AFP