CALIFORNIA 22 Julai - Aplikasi enjin carian popular, Google akan membantu dalam membanteras jenayah antarabangsa di alam maya.
Google kini bekerjasama dengan pertubuhan pembanterasan jenayah
antarabangsa untuk mencari 'pintu belakang' kepada kumpulan pengganas,
pengedar dadah dan penyeludupan manusia antarabangsa.
Anak syarikat aplikasi enjin carian itu, Google Ideas akan
bekerjasama dengan agensi penganalisis, Majlis Hubungan Luar dan
pertubuhan pembanterasan untuk mencapai tujuan tersebut.
Sindiket dadah, penyeludupan manusia dan kumpulan jenayah terancang
dilaporkan kini menggunakan teknologi tinggi di Internet untuk
menyembunyikan kegiatan serta identiti mereka daripada penguatkuasa
undang-undang.
Pertubuhan pembanterasan jenayah global juga berharap, teknologi
Google akan menjadi kunci dalam 'menembusi' teknologi digunakan oleh
kumpulan jenayah tersebut.
Pegawai Google dan pertubuhan terlibat telah mengadakan pertemuan
pada minggu ini untuk membentuk strategi bagi memerangi jenayah global.
Felo Kanan Majlis Hubungan Luar, Stewart Patrick berkata, ia mungkin
terkeluar daripada tujuan asal Google, tetapi syarikat teknologi kini
mempunyai peralatan yang mampu membawa ketelusan kepada jaringan
tersembunyi dan memerangi penyelewengan sertamembantu pihak berkuasa
membanteras jenayah transnasional.
"Kita semua tahu penjenayah menggunakan Internet, tetapi kini kita
boleh katakan Internet juga membantu membanteras jenayah," kata Profesor
Madya Antropologi di Pomona, Pardis Mahdavi yang membantu Google dalam
mencapai hasrat tersebut. - AGENSI