Umno telah mengerakkan kesemua 6,667 Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk
mengukuhkan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang,
kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau yang juga
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Majlis Tertinggi
Umno baru-baru ini telah membuat keputusan untuk mengaktifkan PDM di
kesemua 191 bahagian Umno dan 20,000 cawangan di seluruh negara.
"Kita telah memberi taklimat kepada semua Ketua Penerangan Umno Negeri
untuk mengadakan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan ini. Umno
pusat akan menyalurkan peruntukan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti
termasuk berbuka puasa dan bersahur.
"Jentera bahagian Umno
telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan
pada bila-bila masa. Sehubungan itu Umno mengaktifkan PDM sebagai
persediaan untuk menghadapi pilihan raya,"katanya kepada pemberita
selepas mengadakan Majlis Nur Ramadan di kediamannya di Presint 10 di
Putrajaya.
Kira-kira 100 anak-anak yatim dari Rumah Amal Belaian
Kasih, Hulu Kelang, Rumah Anak Yatim, Miskin, Shifa, Setapak dan Rumah
Kebajikan Al-Nasuha, Gombak hadir pada majlis tersebut.
Ahmad
berkata setiap bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri akan mengambil satu
PDM sebagai anak angkat untuk memastikan jentera parti mendekati
pengundi di peringkat akar umbi.
- Bernama