24 June 2012

Sila cari guru BM, Salahuddin nasihat MIC

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyarankan agar Pemuda MIC mendapatkan khidmat pakar bahasa Melayu untuk memahami apa yang dimaksudkan beliau ketika Debat Sinar Harian bertajuk Demonstrasi Jalanan: Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi’, Selasa lalu.


Salahuddin berkata, apa yang dimaksudkannya menyentuh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang langsung tidak menyentuh atau menyamakan perarakan Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.
“Saya sentiasa peka dengan komen di blog-blog dan majoriti masyarakat India menyokong saya. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
“Nasihat saya kepada Pemuda MIC, sila cari pakar dan guru bahasa Melayu untuk faham apa yang saya perkatakan," kata beliau ketika ditemui di Skudai semalam.

"Sebahagian mereka (kaum India) faham, hanya sebahagian kecil yang tidak faham dan jadikan ia sebagai satu isu politik murahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Pemuda MIC meminta Salahuddin memohon maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Ketua Pemudanya, T Mohan meminta Salahuddin berbuat demikian dalam tempoh 24 jam.

"Salahuddin harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan tersebut," katanya.

Satu laporan polis terhadap Salahuddin turut dibuat mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan berbaur hasutan.

Salahuddin berkata, dalam ucapannya itu, beliau tidak berniat untuk menghina mana-mana agama dan mereka perlu dengar serta faham konteks ayat yang diperdebatkan dalam debat.

"Saya nasihatkan supaya pihak-pihak yang tak faham tentang ucapan itu mendapatkan khidmat guru Pakar Bahasa Melayu untuk fahamkan konteks ayat tersebut.

"Ucapan saya juga bukan bertujuan untuk hina mana-mana agama yang dianuti orang lain tapi beri contoh perhimpunan seperti terkandung dalam artikel 10 Perlembagaan," kata ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, kemungkinan ada pihak yang ingin jadikan isu ini sebagai mainan politik dan mengambil kesempatan terhadap kesalah tafsiran ucapannya itu.

Salahuddin berkata, beliau menafikan dakwaan Mohan kerana berdasarkan agama Islam yang dipegangnya melarang perbuatan menghina agama lain.

"Seorang Islam, amat dilarang untuk menghina agama lain. Saya tak mungkin lakukan perkara demikian secara sengaja," katanya lagi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, beliau tidak menghina agama lain dan menyarankan pihak tersebut mengikuti pendebatan itu secara keseluruhan untuk memahami konteks yang dimaksudkan dalam pendebatannya bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. - SH

No comments:

Post a Comment