SEGAMAT - Seorang pemandu trak tunda terpaksa menahan kesakitan
ketika memandu sejauh tiga kilometer untuk mendapatkan bantuan selepas
tangan kanannya terkena tembakan yang dilepaskan dari sebuah kereta
jenis BMW di Segamat Baru di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, A. Nadarajan, 49,
memberhentikan kenderaan di persimpangan lampu isyarat di kawasan
berkenaan sebelum dihampiri oleh dua suspek yang menaiki kereta mewah
BMW.
Difahamkan, ketika kejadian, penumpang kereta mewah itu melepaskan
empat das tembakan menggunakan sepucuk pistol dengan dua daripadanya
terkena tangan kanan Nadarajan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud berkata, selang
15 minit, polis menerima maklumat berlaku satu lagi kejadian tembakan
ke atas sebuah rumah dua tingkat di Bukit Siput di sini dipercayai
dilakukan oleh penyerang yang sama.
Jarak lokasi Nadarajan diserang dengan rumah berkenaan kira-kira dua kilometer.
"Polis yang menjalankan siasatan tidak menolak kemungkinan dua
kejadian tembakan itu ada kaitan dengan pergaduhan yang berlaku di
daerah ini baru-baru ini.
"Setakat ini, kita telah mengenal pasti dua lelaki terlibat tetapi tangkapan masih belum dilakukan," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Hanafi berkata, sejurus terkena tembakan
itu, mangsa terus memandu menghala ke Balai Polis Segamat yang terletak
kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan.
"Mangsa dibawa ke Hospital Daerah Segamat dengan ambulans untuk
mendapatkan rawatan dan keadaan
Nadarajan kini dilaporkan stabil,''
ujarnya.
Menurutnya, dalam kejadian kedua itu, penyerang melepaskan lima das
tembakan yang mengenai tingkap rumah tersebut namun tiada kecederaan
dilaporkan.
Beliau berkata, kejadian tembakan tersebut adalah yang kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh 10 hari.
Pada 12 Jun lalu, seorang pengusaha kedai barangan binaan di sini
maut akibat terkena enam das tembakan yang dilepaskan oleh penyerang
bermotosikal.
Ketika kejadian pukul 7.45 pagi itu, Lim Ching Hoon, 63, sedang
mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang di sini.
Dia mati ditembak dari jarak dekat oleh penyerang menggunakan pistol
jenis semi automatik.
No comments:
Post a Comment