SUNGAI BULOH - Mangsa samun yang ditetak sehingga tidak sedarkan diri di Bandar Kinrara, Puchong sebelum ditinggalkan bersendirian di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor kelmarin, masih kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.
Mangsa, Teoh Soo Kim, 51, ditemui orang awam di ladang berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang jam 10 pagi, kelmarin.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Kinrara 2 ke taman rekreasi Bukit Jalil untuk joging bersama rakan,Rabu lalu.
Bagaimanapun, kenderaan dipandu mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan dan dia dikatakan bertengkar dengan suspek yang menyerangnya sebelum dibawa ke sebuah mesin juruwang automatik (ATM).
Suspek mengeluarkan wang mangsa di mesin ATM terletak di stesen minyak berhampiran sebelum melarikannya ke Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, mangsa ditemui penduduk dalam keadaan kritikal.
Pemeriksaan doktor mendapati mangsa ditetak di bahagian kepala dengan benda tajam sebanyak tiga kali.
Suami mangsa, Tan Lee Ming, 48, berkata, isterinya masih koma akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
“Saya dimaklumkan kepala isteri alami kecederaan teruk dan retak tetapi bahagian fizikal lain tidak ada masalah,”katanya ketika menerima kunjungan Abd Razak dan Pengerusi Persatuan CP Selangor, Kuan Chee Heng di Hospital Sungai Buloh, semalam -SH
No comments:
Post a Comment