10 June 2012

Peniaga warga asing ditahan

KUALA LUMPUR - Seramai 23 warga asing terdiri daripada majikan dan pekerja premis di kawasan Masjid India, di sini ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), petang semalam.

Ketua Unit Operasi dan Risikan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Amdan Yahya berkata, operasi dijalankan ke atas 20 premis perniagaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, seramai 113 diperiksa dalam tempoh dua jam operasi dilaksanakan.

“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 23 orang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Pakistan dan Indonesia berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

“Mereka didapati menyalahgunakan pas yang dimiliki iaitu menggunakan pas lawatan dan juga pas bekerja sebagai pembantu rumah yang boleh dikenakan tindakan kompaun RM200,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke lokap tahan Imigresen, Jalan Duta untuk tindakan lanjut.

Majikan yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 berikutan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah dan jika didapati menggaji lebih daripada lima pekerja, boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan enam kali sebatan.

Sementara itu, wakil DBKL, Saiful Mazli Ahmad berkata, sebayak 18 tindakan berhubung kesalahan di bawah undang-undang pelesenan dan perniagaan.

“Tujuh tindakan sita juga diambil terhadap peniaga tanpa lesen. Kita akan terus melaksanakan operasi ini dari masa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi yang berlangsung dari jam 5 hingga 7 petang itu juga dibantu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -sh

No comments:

Post a Comment