Hanya kerana bayaran RM100, empat wanita Islam sanggup memakai pakaian
tidak sopan sambil mempersembahkan tarian kepada pengunjung sebuah pusat
hiburan di Kuala Lumpur ketika kelab itu diserbu oleh Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) malam tadi.
Seorang daripada
mereka yang hanya dikenali sebagai Baby, 27, berkata beliau hanya datang
ke pusat hiburan sekiranya mendapat undangan dan menari hanya untuk
suka-suka di samping menambah wang saku kerana kebetulan, beliau
mengambil jurusan tarian ketika belajar di sebuah institusi pengajian
swasta satu ketika dulu.
Katanya, ada ejen yang ditugaskan untuk mencari penari dan membayar mereka mengikut ketetapan yang ditentukan.
"Kalau
ada undangan, baru saya datang menari kerana bayaran juga mahal untuk
10 ke 15 minit. Saya tidak tertumpu pada pusat hiburan ini saja namun
kalau ada undangan di tempat lain dengan bayaran lumayan juga, saya akan
sertai," katanya kepada pemberita setelah diambil keterangan oleh
pegawai penguatkuasa Jawi ketika serbuan itu.
Seorang lagi wanita
yang enggan dikenali berkata beliau menari atas desakan hidup untuk
mencari wang saku disamping menghiburkan pengunjung biarpun beliau
menyedari tindakannya itu salah di sisi agama Islam.
"Saya hanya
menari untuk mencari wang saku dan bukan untuk disentuh oleh pengunjung
dan jauh sekali untuk menggadai maruah diri," katanya sambil menambah
bahawa beliau menari sejak setahun lalu.
Dalam operasi itu yang
bermula pada 10.30 malam dan berakhir 2 pagi itu, 40 anggota
penguatkuasa JAWI dengan kerjasama polis dan penguatkuasa Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di
Jalan Raja Chulan dan dua lagi di Jalan Dooraisamy.
Ketua Pegawai
Penguatkuasa Jawi Wan Jaafar Wan Ahmad berkata dalam serbuan itu 10
notis pemberitahuan hadir ke JAWI dikeluarkan untuk siasatan lanjut
atas beberapa kesalahan terhadap enam lelaki dan empat wanita beragama
Islam.
Katanya, enam lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 45
tahun itu diberikan notis kerana melanggar Seksyen 19 Akta Kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu meminum minuman
keras manakala empat wanita berumur lingkungan 18 hingga 27 tahun
tersebut pula diberi notis menurut Seksyen 29 akta yang sama iaitu
melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
"Kami menerima
banyak aduan daripada orang awam berhubung salah laku orang Islam di
sekitar Lembah Klang seperti minum minuman keras dan wanita menjadi
pelayan pelangggan (GRO)," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.
Wan
Jaafar berkata tujuan serbuan dibuat adalah untuk menyedarkan orang
Islam bahawa perbuatan mereka itu salah di sisi agama dan sesi
kaunseling akan diberikan untuk mendidik mereka agar bertaubat dan
kembali ke pangkal jalan.
"Sekiranya mereka tidak hadir ke sesi
kaunseling tersebut tanpa sebarang sebab yang paling munasabah, kami
akan buat tindakan susulan dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap
mereka," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment