SHAH ALAM - Chin Peng, pemimpin perang gerila yang gagal mencapai matlamatnya setelah berjuang lebih 40 tahun, sekarang sedang menghadapi saat-saat kematian di Thailand.
Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng, 90, sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bangkok dan berita terakhir yang diterima di sini mengatakan keadaannya semakin tenat.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin Melalui blognya, zamkata. blogspot, berkata, beberapa kenalan rapat dari Malaysia dan Singapura yang melawatnya baru-baru ini mendapati keadaannya sangat uzur dan tidak lagi dapat mengenali orang yang melawatnya.
Menurut blog itu, seorang daripada dua pembantu yang berada di sisinya memberitahu, Chin Peng telah dikejarkan ke hospital dari rumahnya di luar kota Bangkok setelah keadaan kesihatannya semakin tenat.
Dua orang pembantunya cuba memberitahu tentang kedatangan pelawat, tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar.
Mereka diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa sebelumnya dia telah pun bercakap mengenai kematiannya.
Chin Peng dilahirkan di tingkat atas rumah kedai dua tingkat di Kampong Koh, Sitiawan Perak dan telah menjadi anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sejak berumur 15 tahun.
Dia dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM pada 1947 setelah setiausaha agung pertamanya, Lai Te menghilangkan diri dengan membawa mas dan wang AS$1 juta (RM3.2 juta). - SH
No comments:
Post a Comment