28 April 2012

Wan Ahmad: Saya tidak jadi ahli Umno sejak sertai SPR

KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan tuduhan pembangkang bahawa beliau merupakan anggota Umno.


Beliau berkata, ia merupakan fitnah dan pembohongan yang sengaja dibuat oleh pembangkang dalam usaha mencari sokongan rakyat.

"Saya tidak berada dalam Umno sejak menyertai SPR pada Mei 1998," katanya menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.

Wan Ahmad mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa beliau adalah anggota Umno Cawangan Kubang Bunggor di Pasir Mas, Kelantan manakala Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjadi anggota Umno Cawangan Sri Ampang Baru (bahagian Ampang).

Wan Ahmad menegaskan tindakan pembangkang itu jelas menunjukkan bahawa mereka semakin terdesak dan ketandusan isu untuk meraih sokongan rakyat.

Menurut Wan Ahmad, pembangkang selama ini sememangnya mengguna dan mencuba pelbagai cara termasuk propaganda dan fitnah untuk meraih sokongan rakyat serta menjatuhkan kredibiliti SPR.

"Tak cukup dengan itu, mereka sekarang mula mengheret hal peribadi untuk tujuan merosakkan nama dan kredibiliti pengerusi SPR dan saya," katanya.

Wan Ahmad berkata, sebagai sebuah badan di bawah Perlembagaan, SPR sentiasa sedar tentang amanah dan tanggungjawab besar suruhanjaya itu untuk menguruskan pilihan raya. - Bernama

* Patutlah dia berat ke Umno...

No comments:

Post a Comment