28 April 2012

Bersih 3.0: Dataran Merdeka dikawal ketat

SHAH ALAM - Ibu negara menyambut pagi Sabtu dengan tenang meskipun Dataran Merdeka, yang menjadi tumpuan ekoran rancangan perhimpunan Bersih 3.0 yang hendak diadakan petang ini, dikawal ketat oleh polis dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati sekitar 1,000 anggota polis ditempatkan di kawasan Dataran Merdeka.

Sejumlah orang ramai, yang dipercayai mereka yang hendak menyertai perhimpunan itu turut kelihatan berada di kawasan berhampiran Dataran Merdeka.

Dataran Merdeka telah diisytiharkan sebagai kawasan tidak boleh dimasuki oleh penganjur Bersih 3.0 dan orang ramai, mulai tengah malam tadi sehingga 1 Mei ini.

Sementara Dataran Merdeka dan ibu negara pada amnya menjadi tumpuan, 'perang' berbalas mesej menerusi laman-laman sosial termasuk Twitter juga menjadi fokus sejak malam tadi.

Pemimpin-pemimpin politik dari segenap lapisan masyarakat menghantar mesej Twitter untuk memberi gambaran mengenai keadaan semasa di ibu negara.

Turut berkongsi mesej Twitter ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM). - SH

No comments:

Post a Comment