23 January 2012

Lelaki jadikan budak tebusan mati ditembak polis

KUALA LUMPUR 23 Jan. — Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijadikan tebusan di sebuah rumah di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.

"Tembakan tersebut telah terkena pada rusuk kiri suspek, manakal mangsa berjaya diselamatkan. Kedua-dua mereka dibawa ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) di mana mangsa dirawat bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang kecederaan fizikal semasa dikurung,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan suspek untuk memujuk lelaki berkenaan, namun dia bertindak lebih agresif.

Zulkarnain berkata, ruang bilik yang agak kecil menyukarkan anggota polis kerana suspek boleh bertindak dengan pantas jika berasa dirinya terancam.

Jelas beliau semasa proses rundingan, suspek tidak menuntut sebarang wang tebusan sebaliknya hanya meminta agar dia tidak diapa-apakan, selain air dan dadah.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment