24 January 2012

Anak hilang cermin mata tak pulang rumah

SHAH ALAM: Teguran seorang bapa terhadap anaknya kerana menghilangkan cermin mata di sekolah menyebabkan murid yang berusia 11 tahun tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu selepas ke sekolah, pada 19 Januari lalu.

Muhammad Faiz Nasrullah Faizal Naim, murid tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, di sini, dipercayai menghilangkan diri selepas tamat waktu persekolahan, jam 2 petang.

Bapanya, Faizal Naim Ahmad, 35, berkata dia memarahi anaknya kerana cuai meletakkan cermin mata yang baru dibeli di merata tempat sehingga hilang sebelum meminta anaknya mencari cermin mata itu sehingga jumpa jika tidak mahu dirotan.

Faizal Naim berkata, anaknya tidak menunjukkan reaksi seperti merajuk atau takut.

“Malah, ketika saya menghantarnya ke sekolah pagi hari kejadian, saya dan isteri sedikit pun tidak menyangka yang dia akan lari kerana ketika itu dia berpakaian sekolah dan bersalaman dengan saya seperti biasa.

“Saya dimaklumkan pemandu van sekolah yang anak saya tidak hadir ke sekolah agama pada sesi petang dan ia semakin merisaukan kerana anak saya hilang sejak tengah hari,” katanya. Faizal Naim yang juga kakitangan kerajaan berkata, anak lelaki sulung daripada lima beradik itu turut mengalami masalah alahan yang serius terhadap kacang parang dan kacang hijau serta memerlukan rawatan jika didapati terkena alahan.

Faizal Naim merayu orang ramai yang terserempak atau mengetahui di mana anaknya, menghubunginya di talian 019-3953797 atau menghantar anak ke balai polis berdekatan. - Mymetro

No comments:

Post a Comment