12 November 2011

3 anggota sindiket curi kereta mewah ditahan

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan satu sindiket mencuri kereta mewah yang bergerak di sekitar Cheras dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam Ops Lejang Estima pagi semalam.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, mereka yang berumur 26 hingga 29 tahun itu ditahan di Taman Suria Jaya, Cheras pada 4 pagi selepas risikan di rumah terbabit mendapati sebuah kereta jenis Toyota Estima dipercayai telah dicuri lelaki terbabit dan akan diseludup ke negara jiran.

"Pada masa yang sama, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Risikan/Operasi (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ternampak sebuah lagi kereta jenis sama yang dipandu oleh seorang lelaki dan diekori sebuah jenis kereta Mitsubishi Airtrack yang dinaiki tiga lelaki memasuki kawasan tersebut.

"Setelah meletakkan kereta Toyota Estima bersebelahan dengan Estima sedia ada, kesemua mereka telah menaiki Mitsubishi Airtrack dan menghala keluar dari kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pada masa itu, pegawai dan anggota D4 telah menghalang kereta tersebut di bahagian hadapan dan belakang dengan menggunakan dua buah kenderaan polis.

Kereta Mitsubishi itu kemudian mengundur dengan laju sehingga merempuh sebuah kereta polis yang berada di belakang.

Hadi Ho berkata, memandangkan keadaan membahayakan, polis telah melepaskan satu das tembakan ke udara, tetapi kereta Mitsubishi Airtrack masih lagi terus merempuh kereta polis yang berada di belakang beberapa kali.

Katanya, satu lagi das tembakan dilepaskan mengenai tayar kereta tersebut bagi mengelak kereta itu daripada terus bergerak, namun didapati empat orang suspek telah keluar dari kereta dan cuba melarikan diri.

"Tiga lelaki berjaya ditahan di mana seorang daripadanya cedera ringan di lengan kiri terkena tembakan dan kini menerima rawatan di sebuah hospital.

“Seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri dan sedang diburu,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment