12 November 2011

Sudah Tiba Masanya Bas Mesti Guna Dua Pemandu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)menggesa semua kenderaan awam menggunakan perkhidmatan dua pemandu bagi setiap laluan selaras dengan dasar pengangkutan Kaedah 10B yang melarang pemandu memandu melebihi empat jam secara berterusan atau tiga ratus kilometer.

Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azhar Ahmad berkata, pemandu kenderaan perlu mengelakkan diri daripada memandu berseorangan dan memaksa diri dari memandu dalam keadaan yang tidak selamat dan memudaratkan.

"Pengendali dan pemandu kenderaan pengangkutan awam darat perlu mengambil serius akan keselamatan penumpang-penumpang dan tidak mementingkan keuntungan mahupun untuk segera sampai ke destinasi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai kemalangan yang sering melibatkan bas penumpang akhir-akhir ini.

Kemalangan terbaru melibatkan sebuah bas rombongan sekolah di Behrang, Perak awal pagi ini menyebabkan empat maut - seorang daripadanya guru dan dua pelajar sekolah menengah.

Sementara itu Presiden Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa)Tajuddin Mohd Yunus bersetuju supaya setiap bas ekspres mempunyai dua pemandu terutama bagi perjalanan jauh dan tanpa henti.

"Ini adalah kerana setiap tiga hingga empat jam (pemanduan), adalah wajar untuk bertukar pemandu," katanya.

Beliau berkata, penggunaan dua pemandu bagi sesuatu laluan memang telah lama dikuatkuasakan kerana memandu seorang sangat berbahaya baik siang atau malam.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Konsortium Transnasional Bhd (KTB) berkata menggunakan dua pemandu belum tentu dapat mengelakkan kemalangan.

Beliau berkata, ini kerana ada kalanya kedua-dua pemandu memandu dalam keadaan letih dan penat.

"Apa yang penting ialah mewujudkan peraturan pemandu yang memandu mengikut giliran (shift) seperti yang disyorkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)," katanya.

Tambahan pula, katanya setiap pemandu sepatutnya menjalankan tugas memandu lapan jam sehari. - Mstar

* BN gagal jaga nyawa rakyat...

No comments:

Post a Comment