12 November 2011

Peguam Sabah fail semakan kehakiman mahu PPSMI kekal

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Seorang peguam Sabah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menghalang kerajaan daripada memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Marcel Jude Joseph memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam untuk mengetepikan keputusan Kementerian Pelajaran memansuhkan PPSMI atas alasan ia satu tindakan itu tidak sah.

Sebagai seorang rakyat yang prihatin dengan soal pendidikan, Joseph memohon semakan bagi mengekalkan dasar tersebut yang diperkenalkan pada 2003 ketika pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Joseph berkata beliau terlibat aktif dalam bidang pendidikan memandangkan dirinya juga Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pelajar La Salle, demikian menurut laporan The Star hari ini.

Permohonan ini dibuat ketika pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti melahirkan pendirian berbelah bahagi berhubung pendirian kerajaan termasuk Dr Mahathir mahu kerajaan mengadakan satu referendum mengenai keputusananya.

Sebelum ini, kes berkaitan dengan PPSMI pernah difailkan tetapi ia mahu dasar itu dimansuhkan atas alasan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 3 November lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI, yang diputuskan dua tahun lalu adalah muktamad.

Meskipun ada desakan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Muhyiddin berkata, tidak akan diadakan sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu dua tahun lalu.

“Ia sudah pun diputuskan oleh Kabinet pada 2009 selepas dibincangkan di banyak peringakt, telah diluluskan di Parlimen, malah disokong oleh pembangkang. Tiada reaksi negatif ketika itu. Saya tidak tahu mengapa ia dibawa kembali,” kata beliau lagi.

“Kemungkinan mereka (pihak yang mendesak) sudah ketinggalan zaman,” kata beliau sambil menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan satu kumpulan kecil.

Beberapa hari sebelum itu, Muhyiddin berkata keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

PAGE sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

PAGE juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya minggu lalu.

Jumaat lalu, Muhyididn berkata kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga tingkatan lima.

Dengan keputusan itu bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki tingkatan satu bermula tahun depan.

“Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

“Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sehingga tamat tingkatan lima dapat melegakan ibu bapa. - TMI

* IMalaysia sepatutnya 1Bahasa. Jika dilayan kumpulan ini, negara akan kucar kacir...

No comments:

Post a Comment