14 September 2011

Kes Nurul Awatif: Pelajar universiti diberkas


SHAH ALAM 13 Sept. - Polis percaya berjaya menyelesaikan kes bunuh dan bakar pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah di Selayang, Nurul Awatif Syakir, 19, dengan tertangkapnya seorang remaja lelaki di Seri Iskandar, Perak, semalam.

Remaja berusia 19 tahun yang juga pelajar tahun dua kursus Sarjana Muda Ukur Bahan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu ditahan sebaik sahaja dipanggil oleh polis keluar dari kampusnya kira-kira pukul 12 tengah hari.

Suspek dipercayai kekasih mangsa yang mayatnya ditemui melecur 80 peratus di dalam parit di Jalan Bukit Belacan, Ampang dekat sini pada 5 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, susulan penahanan suspek, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Pihaknya juga mengenal pasti dua stesen minyak di Ampang yang dipercayai menjadi lokasi pembelian petrol untuk membakar mangsa.

"Kita juga menemui beberapa bukti fizikal yang ada hubung kait dengan kes pembunuhan seperti rambut di dalam kereta Kancil yang dirampas," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.

Dalam kejadian 5 September lalu, seorang pengusaha gerai terkejut apabila mendapati objek hangus dalam parit di seberang jalan berhadapan rumahnya yang disangka anak patung rupa-rupanya mayat remaja perempuan yang mati dibakar.

Polis kemudian mengesahkan mayat remaja yang ditemui terbakar hampir 80 peratus itu ialah Nurul Awatif menerusi pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.


Sehari sebelum kejadian, mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya.

Menurut Tun Hisan, suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan mengetahui motif sebenar pembunuhan.

Difahamkan, polis sedang menyiasat kemungkinan pembunuhan mangsa dilakukan di tempat lain dan mayatnya kemudian dibakar di Bukit Belacan.

Siasatan juga menjurus kemungkinan kejadian bunuh dan bakar itu hanya dilakukan oleh seorang suspek. - Utusan

No comments:

Post a Comment