14 September 2011

Pengawal keselamatan dalang rompak restoran mamak?


SHAH ALAM 13 Sept. - Kumpulan penjenayah yang merompak dua restoran mamak 24 jam di sini dan aksi jenayah mereka itu disiarkan dalam laman video YouTube baru-baru ini, tumpas selepas lapan anggotanya termasuk dua pelajar dan dua pengawal keselamatan berjaya diberkas polis.

Kesemua suspek ditahan dalam lima operasi di sekitar Shah Alam, Gombak dan Rawang termasuk di Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16 di sini bermula 8 September lalu hingga kelmarin.

Difahamkan, salah seorang pengawal keselamatan yang ditahan adalah dalang penjenayah terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, turut dirampas dalam kesemua serbuan adalah sebuah motosikal yang dipercayai dicuri, beg komputer bimbit dan topi keledar serta jaket yang dipercayai digunakan semasa rompakan.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

"Hampir kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 27 tahun memiliki rekod jenayah lampau dan kita percaya telah menumpaskan kumpulan itu serta menyelesaikan dua kes rompakan itu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini, hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan lelaki merompak dua restoran mamak di Seksyen 15 di sini dan turut melarikan barangan berharga milik pelanggan yang sedang makan di situ.

Rakaman kejadian rompakan tersebut kemudian disebarkan di YouTube sehingga menimbulkan rasa bimbang orang ramai, terutama yang menjadi pelanggan restoran mamak yang beroperasi 24 jam.

Tidak sampai dua minggu selepas kejadian iaitu semalam, kumpulan yang sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 di sini dan beberapa pelanggan turut menjadi mangsa.

Kedua-dua rompakan dilakukan pada awal pagi iaitu pada pukul 4 pagi dan 5.30 pagi di mana jumlah pelanggan restoran ketika itu tidak terlalu ramai.

Tun Hisan berkata, pihaknya sedang memburu lima lagi anggota kumpulan penjenayah itu yang masih bebas dan salah seorang daripadanya dikenali sebagai S. Veeramuthu, 19, berasal dari Kapar, Klang. - Utusan



* Polis akan buat kerja bersungguh-sungguh jika sesuatu kes itu mendapat perhatian awam?

No comments:

Post a Comment