26 August 2011

Tentera Gaddafi bangkit


TRIPOLI: Pertempuran memuncak di Bab al-Azizya semalam apabila tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi bangkit semula sehari selepas ia ditawan pemberontak.

Wartawan mendakwa, tentera terbabit melawan menggunakan senjata ringan, mesingan, pelancar roket dan mortar.

Pertempuran turut merebak ke kawasan Abu Slim yang terletak berhampiran kubu Gaddafi itu.

Bagaimanapun, pemimpin pemberontak berkata, mereka yakin mampu menyingkirkan tentera terbabit dari kawasan itu tidak lama lagi.

Kebanyakan jalan di Tripoli lengang selepas pemberontak berkata, penembak curi di kalangan penyokong Gaddafi mengambil kedudukan di lokasi strategik ibu negara Libya itu.

Pemimpin pemberontak, Nuri Mohammed, berkata penembak curi berada di sekitar Bab al-Azizya.

“Ada berpuluh-puluh penembak curi tetapi kami tidak pasti di mana mereka berada,” katanya.

Gaddafi pula muncul menyampaikan mesej melalui laman sesawang stesen televisyen dikuasai anaknya, Saif al-Islam, pagi semalam.

Kata Gaddafi, dia meninggalkan Bab al-Azizya sebagai langkah taktikal selepas kawasan berkenaan musnah terkena 64 bom Nato.

Dalam mesej audio kemudian, Gaddafi berkata, dia bergerak di jalanan Tripoli tanpa dikenali sesiapa.

“Saya keluar menyamar dan melihat anak muda bersedia mempertahankan bandar raya mereka,” katanya.

Gaddafi juga menggesa orang ramai “turun ke jalan dan membersihkan Tripoli daripada tikus.” Ketika pemberontak menawarkan imbuhan RM5 juta untuk menangkap Gaddafi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula menggesa mesyuarat diadakan bagi membincangkan pembatalan pembekuan puluhan bilion ringgit aset Libya.

Beberapa negara penderma pula berkumpul di Qatar untuk membincangkan langkah terbaru membantu pemberontak Libya.

Sementara itu, Washington berkata, simpanan senjata pemusnah massa Libya kini dalam kawalan dan yakin Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) akan membentuk kerajaan sementara bagi mentadbir Tripoli.

Pemberontak juga mendapat kejayaan baru apabila dua negara penyokong kuat Gaddafi - Chad dan Burkina Faso - kini mengiktiraf NTC sebagai wakil tunggal untuk rakyat Libya. - AFP

No comments:

Post a Comment