26 August 2011

Dua lelaki Bangladesh didakwa bunuh, kerat wanita Indonesia

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Bangladesh hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang wanita warga Indonesia yang mayatnya dikerat-kerat dan anak lelakinya berusia dua tahun di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, Ampang, bulan lalu.

Tertuduh, Abd Razak Tofazzalhossain, 29, didakwa membunuh Siti Sando, 35, di no 40, Tingkat 5, Blok Chrsyaa Astaria Apartment, Taman Kosas, Ampang, di sini, pada jam 11 pagi dan 5 petang 29 Julai lalu. Abd Razak turut didakwa bersama-sama Mmd Ripin Mondal Krndaboss, 28, membunuh anak mangsa, Mohd Shukri, pada masa dan tempat yang sama. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sejurus dibacakan pertuduhan dalam Bahasa Malaysia, kedua-dua mereka menafikan tuduhan tersebut namun Majistret Wan Karimah Wan Ab. Ghani berkata, mahkamah hanya mahukan jawapan faham atau tidak daripada tertuduh.

Mereka kemudian menjawab, "faham" dalam Bahasa Malaysia tanpa mahkamah merekodkan sebarang pengakuan.

Sementara itu, tertuduh ketiga Mosharof Hossain, 23, pada awal prosidng mengaku salah terhadap pertuduhan melupuskan mayat kedua-dua anak beranak itu, namun selepas dijelaskan mengenai hukuman bagi kesalahan itu, tertuduh dilihat mulai ragu-ragu menyebabkan Wan Karimah bertanya beberapa kali kepada tertuduh sama ada memerlukan bantuan jurubahasa Bangladesh.
Tertuduh akhirnya mengaku tidak memahami pertuduhan tersebut dan pengakuan salahnya sebelum itu tidak diterima.

Mosharof didakwa melupuskan kedua-dua mayat itu untuk melindungi pesalah dari tindakan undang-undang yang didakwa dilakukan di tempat yang sama, pada 29 Julai lalu jam 11.20 tengah hari dan 3 Ogos 2011 jam 11 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum, untuk satu tarikh singkat iaitu pada 29 September ini untuk mendapatkan jurubahasa Bangladesh.

Akhbar pada 4 Ogos lalu melaporkan penemuan menggemparkan mayat seorang wanita yang dikerat 15 dengan sebelah kaki dan beberapa bahagian organ dalaman dibuang ke dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Kosas di sini.

Manakala mayat anak lelakinya turut ditemui dalam plastik di rumah yang sama dengan kedua-duanya berbau busuk dan reput dipercayai dibunuh seminggu sebelumnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment