22 May 2011

Belajar di penjara


KAJANG: “Dalam penjara, saya mengenal erti kawan dan mengharungi susah senang bersama. Sebelum ini, saya tidak pernah ambil tahu pasal penjara dan tidak pernah membayangkan akan ditempatkan di sini.

“Namun, akibat kelemahan saya yang terlalu percaya pada rakan, akhirnya saya merengkuk di penjara,” kata Ima (bukan nama sebenar), 29, dari selatan tanah air yang menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan pecah amanah.

Menurutnya, kehidupan di sebalik tembok besar tidak seburuk disangka kerana membolehkannya mengenal diri dan membentuk jati diri.

“Di sini saya peroleh kemahiran menjahit selain mendalami agama. Selepas keluar dari penjara, saya ingin memulakan hidup baru. Saya juga akan lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan rakan.

“Kesilapan saya ialah memberi pengenalan diri (ID) untuk digunakan rakan dan akhirnya disalahgunakan hingga menyebabkan saya disumbat ke dalam penjara. Daripada sembilan tuduhan, hanya tiga yang lepas.

“Saya tidak dapat membuktikan saya tidak bersalah kerana ID saya digunakan dalam kes pecah amanah itu,” katanya yang menghuni Penjara Wanita Kajang sejak 11 bulan lalu.

Ima antara 10 penghuni terpilih yang diberi peluang bertemu keluarga sempena program Hari Ibu dan Bapa Penjara Kajang bersama Maybank, di sini, semalam.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan pejabat pentadbiran Penjara Wanita Kajang apabila 10 banduan wanita itu bertemu dan berpelukan dengan ahli keluarga.

Turut diadakan sukaneka antara penghuni dengan kakitangan Maybank.

Ros, (bukan nama sebenar), 24, dari Pantai Timur tidak dapat melupakan kejadian dia dan ahli keluarga digari polis pada malam pernikahan kerana tuduhan bersubahat dengan tunang memiliki dadah.

Disebabkan tidak mahu memanjangkan cerita dan membabitkan ahli keluarga, ibu seorang anak itu mengambil keputusan mengaku melakukan kegiatan haram tunangnya.

“Saya reda dengan takdir yang menimpa dan menganggap ia dugaan hidup. Pengajaran yang saya dapat ialah selidik terlebih dulu latar belakang bakal suami,” katanya.

Dia yang menjalani hukuman enam tahun penjara sedih kerana anak dengan bekas suami terdahulu tidak mengenalinya kerana anaknya masih bayi ketika dia ditahan.

Sementara itu, Maybank turut menyumbang dua mesin menjahit kasut, tiga unit al-Quran Digital Intelligent Readpen serta alat kelengkapan solat dan barangan keperluan bayi dan kanak-kanak.

Pengarah Penjara Wanita Kajang, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Rohana Abdullah berkata, program tahunan kali kelima itu memberi peluang penghuni yang mempunyai prestasi baik menyertai program bersemuka dengan ahli keluarga. - HMetro

* Pakatan Rakyat perlu selamatkan kumpulan yang terinaya seperti ini dengan mengubah sistem yang zalim kepada keadilan Islam...

No comments:

Post a Comment