KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, akhirnya saya dikurniakan hidayah daripada Yang Maha Berkuasa. Syukur, kini saya kembali ke pangkal jalan dan menginsafi apa yang pernah saya lakukan sebelum ini,” kata artis terkenal, Shamril Mohd Salleh, 36, atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze.
Sham mengejutkan ramai pihak apabila mengeluarkan kenyataan dan video menerusi laman sosial facebook miliknya serta menjelaskan ingin menarik diri daripada dunia hiburan jika dikurniakan rezeki dalam bidang berbeza.
“Saya sudah berbincang dengan ulama dan ustaz berkaitan pekerjaan dalam bidang ini. Selagi tidak menyalahi hukum syarak, tidak mengapa.
“Namun, saya turut merancang untuk meninggalkan dunia hiburan jika mempunyai peluang lain. Insya-Allah, semuanya bergantung kepada rezeki Allah,” katanya kepada Metro Ahad.
Bekas pemain gitar kumpulan rock yang pernah popular pada era 1990-an ini turut menjelaskan, perubahan dialaminya kini kerana petunjuk dan hidayah pemberian Allah.
“Hati saya mula terbuka apabila Allah menemukan saya dengan Imam Satu, Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais ketika saya merayau-rayau di utara.
“Orang kata, memang susah untuk orang biasa berjumpa imam besar itu. Sejak itulah, saya percaya ada hikmah tersembunyi yang ingin Allah berikan.
“Syukur, saya akhirnya mendapat petunjuk daripada Allah. Sekurang-kurangnya, saya tidak lagi hanyut dengan pelbagai perkara yang melalaikan,” katanya.
“Saya akui, dulu saya jahil. Dengan penampilan memakai subang dan pakaian tidak sopan serta melakukan pelbagai perkara yang menyalahi agama.
“Bagaimanapun, kini saya mula tersedar daripada lamunan. Saya memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Tuhan kerana memberikan hidayah yang nyata adalah milik-Nya,” katanya.
Sham artis terbaru yang ‘berhijrah’ dan mengikuti jejak langkah Azmil Mustapha, Bob Loqman, Cico dan Ashraf Muslim. - HMetro
No comments:
Post a Comment