KUALA LUMPUR 22 Mei — Yayasan Tan Sri Muhyiddin (TSM) Charity Golf hari ini memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, yang 16 daripada penghuninya terkorban dalam kejadian tanah runtuh, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan itu kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz, yang mewakili rumah anak yatim itu.
Muhyiddin berkata, semasa tiba di lokasi kejadian malam tadi, setelah menghadiri acara Citrawarna 1Malaysia di Dataran Merdeka, beliau mendapati keadaan di situ amat menyayatkan hati.
"Saya sampai di sana kira-kira 11 malam. Saya maklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (yang berangkat ke acara tersebut) bahawa saya perlu meninggalkan majlis kerana hati saya sudah berada di lokasi tragedi itu.
"Di sana, saya nampak ada empat kaki iaitu daripada dua mayat yang terperangkap di dalam runtuhan tanah, ia sungguh menyedihkan,” katanya ketika berucap pada majlis pertandingan golf amal, Patron”s Cup 2011 anjuran yayasan itu di Seri Kembangan di sini. - Bernama
No comments:
Post a Comment