KUALA LUMPUR 5 Mac - Meneliti agenda berkaitan pendidikan dalam "Buku Jingga" yang digah oleh pembangkang, menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan mereka untuk “membaiki” kualiti sistem pendidikan di negara ini.
Dengan janji menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500, mereka mendakwa cara itu dapat mentransformasikan kualiti pendidikan negara ke arah yang lebih baik.
Namun, beberapa pemerhati politik melihat janji tersebut hanya “umpan politik” untuk meraih sokongan warga pendidik yang mempunyai peranan penting dalam masyarakat.
Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain misalnya, berkata, sebagai golongan berpendidikan yang terdedah dengan pelbagai maklumat, guru adalah aset penting bagi parti politik kerana mampu mempengaruhi pandangan rakyat, khususnya di luar bandar.
"Jumlah mereka mungkin sekitar 38 peratus berbanding penjawat awam lain, tetapi mereka mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi pengundi atas pagar dan inilah yang sedang diperhatikan secara teliti baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu juga berpandangan imbuhan RM500 tidak akan menyelesaikan isu kualiti pendidikan di negara ini kerana masalah sebenar ialah beban yang ditanggung warga pendidik.
Selain tugas hakiki, Ahmad Atory berkata, guru sekarang dibelenggu dengan pelbagai tanggungjawab lain menyebabkan mereka tidak mampu melaksanakan peranan sebagai pendidik dengan baik.
Namun katanya, isu itu sudah disedari kerajaan yang kini berusaha melakukan pelbagai langkah termasuk pelantikan semula 13,000 Guru Sandaran Tak Terlatih (GSTT) serta cadangan sekolah satu sesi.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid berkata, usaha menaik taraf sektor pendidikan tidak boleh dilakukan secara “one-off” kerana keadaan yang sentiasa berubah-ubah.
Sebaliknya kata beliau, usaha tersebut harus dilakukan secara berterusan selain bersandarkan kepada kemampuan kerajaan yang memerintah.
"Kalau kita perhatikan secara teliti, kerajaan Malaysia sedang memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan sehingga menjadi antara kerajaan di dunia yang memberi begitu banyak peruntukan bagi membangunkan dan mengemas kini bidang tersebut,” kata Timbalan Naib Canselor INTI International University itu.
Justeru kata Ibrahim, walaupun idea ”Buku Jingga” itu menarik, hakikatnya agenda tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan jika faktor kewangan semasa kerajaan diambil kira.
Bagi pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Madya Shahrudin Badarudin pula, janji imbuhan RM500 itu adalah strategi politik pakatan pembangkang yang berupaya memikat warga pendidik jika BN lambat memberi reaksi balas.
"Harus diingat yang mereka juga pengundi. Jika pakatan DAP, Pas dan PKR mempunyai strategi yang lebih ”attractive” untuk menarik perhatian guru-guru yang mengundi, maka BN harus juga bersaing,” katanya.
Bagaimanapun katanya, warga pendidik sekarang mampu berfikir secara kritis dan menilai sendiri pihak mana yang berupaya membawa kebaikan kepada mereka. - Bernama
* Maaf ya. Kali ini guru-guru akan undi Pakatan Rakyat...
No comments:
Post a Comment