03 March 2011

Dua lelaki diburu

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penculikan isteri, anak dan pembantu rumah seorang ahli perniagaan warga Singapura di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkaitan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

“Polis sudah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes ini dan dua lelaki tempatan yang dikesan itu mampu mempercepatkan siasatan kes.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua individu terbabit diminta menghubungi talian 07-2212999 atau datang ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, di sini, semalam.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui di mana kedua-dua lelaki terbabit berada supaya menghubungi polis dengan segera.

“Mungkin orang ramai ada melihat atau mengetahui di mana kedua-dua lelaki ini tinggal supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Individu diburu itu dikenali sebagai Sam Meng Yeoh @ Ah Sam, 30, beralamat terakhir di Nombor 01-02, Blok 17, Bandar Selesa Jaya, Skudai dan Liew Chee Wei @ William, 30, beralamat akhir di Nombor 9, Api-Api 8, Taman Megah Ria dan 18-9-2, Pangsapuri Sri Jinjang, Jalan 19/32, Kuala Lumpur. Ditanya perkembangan terkini kes penculikan itu, beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penculik meminta wang tebusan RM115 juta daripada ahli perniagaan berkenaan sebagai syarat membebaskan ketiga-tiga mangsa. - Mymetro

No comments:

Post a Comment