JOHOR BAHRU: Seorang bekas banduan warga Singapura yang mengusahakan kilang barangan lusuh di Jalan Kota Tinggi-Kulai di sini, diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun kargo dan curi kenderaan sejak hujung tahun lalu.
Turut ditahan isteri suspek, wanita warga China serta empat pekerja mereka warga Indonesia.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek dipercayai mengarahkan empat pekerjanya itu menceroboh sebuah kilang di Pasir Gudang kira-kira jam 3.45 pagi, 31 Januari lalu.
“Kegiatan itu dibongkar selepas pengurusan kilang berkenaan membuat laporan polis berkaitan kejadian itu dan siasatan polis berjaya mengesan dalang sebenar.
“Berikutan itu, kira-kira jam 2.30 petang, 21 Februari lalu, polis menyerbu kilang barangan lusuh di Jalan Kota Tinggi-Kulai dan menahan semua enam suspek terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.
Beliau berkata, keenam-enam suspek berusia 20-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan di kilang berkenaan menemui dua lori jenis Daihatsu Delta dan kepala lori jenis Scania dilaporkan hilang di Desa Cemerlang dan Air Hitam.
“Polis turut menemui beg mengandungi plastik putih serta 160 guni kosong bertulis nama sebuah syarikat dipercayai dilarikan dari kilang syarikat itu di Pasir Gudang. - Mymetro
No comments:
Post a Comment