PENGARAH filem, Mamat Khalid memanjatkan rasa kesyukuran kerana filem arahannya yang ketujuh, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) berjaya mencatat kutipan box-office.Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd., (TUSB) yang ditayangkan di 50 buah pawagam di seluruh negara bermula 9 Disember lalu, mampu mengutip sebanyak RM7.9 juta.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Bin Mohd. Khalid berkata, dia tidak menduga Allah SWT telah memakbulkan permintaannya.
"Ketika abang pergi menunaikan umrah pada Januari 2010, di hadapan Kaabah abang berdoa agar filem arahan abang (Estet) mampu membuat kutipan sebanyak RM7 juta.
"Abang sangkakan filem Estet yang dapat membuat kutipan sebanyak itu tetapi Allah beri rezeki itu untuk filem HKLBR. Alhamdulillah kutipan HKLBR melebihi apa yang abang minta," katanya yang lebih senang membahasakan diri sebagai abang apabila berbicara.
Itulah luahan rahsia isi hati Mamat kepada wartawan pada majlis penghargaan untuk tenaga kerja filem HKLBR yang diadakan di Restoran Istana Bambu, di sini baru-baru ini.
Di majlis tersebut, Penerbit Eksekutif (TUSB), Gayatri Su-Lin Pillai telah mengagihkan bonus sebanyak RM200,000 kepada semua tenaga kerja dan produksi filem HKLBR.
Menurut Mamat, pencapaian kutipan HKLBR secara tidak langsung memberi semangat baru kepadanya untuk menghasilkan filem-filem yang lebih baik.
Katanya, dia juga baru selesai mengarah penggambaran sekuel filem HKLBR yang diberi judul Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (HMDJPT).
Masih mengekalkan barisan pelakon yang sama terdiri daripada Awie sebagai Husin, Ezlyn (Maimon), Shy8 (Usop), Delimawati (Kak Limah) dan Zami Ismail (Pak Abu), jelas Mamat, filem itu nanti masih lagi berkisar tentang kehidupan penduduk Kampung Pisang.
"Di seluruh negara memang terdapat Kampung Pisang yang kebanyakan penduduknya adalah orang Melayu. Bagi abang, Kampung Pisang ini melambangkan sebuah negara.
"Abang bukan nak sampaikan mesej dalam filem tetapi lebih suka menonjolkan kritikan sosial untuk kupasan.
"Filem-filem ini banyak menceritakan kisah masyarakat Melayu dan sebab itulah nama Kampung Pisang perlu dikekalkan," jelasnya.
Katanya lagi, untuk HMDJPT, Husin akan kembali ke kampung kerana mengalami kerugian Skim Cepat Kaya dan Mon pula cuba menagih cinta Husin.
Sementara itu, Kak Limah yang telah pulih sepenuhnya dari penyakit yang dialaminya merancang untuk membawa penduduk kampung ke Singapura.
"Filem HMDJPT masih mengekalkan genre komedi seram. Cerita abang senang sahaja, iaitu dalam kampung. Sejak dari dulu sampai sekarang orang masih lagi percaya kepada benda-benda tahyul.
"Dalam filem ini tetap ada nilai hiburannya tetapi dalam waktu yang sama, abang tetap tonjolkan satira yang kalau dinilai ada pengajarannya," katanya tentang filem HMDJPT yang bakal menemui penontonpenghujung tahun ini.
Kata Mamat, cerita Kampung Pisang yang bermula dengan Zombie Kampung Pisang, HKLBR dan HMDJPT bakal disusuli dengan empat lagi filem sekuel dan kesemua skrip sudah pun siap.
"Walaupun masih berkisar di Kampung Pisang tetapi setiap filem ada ceritanya yang tersendiri. Abang percaya kalau mahu menarik perhatian penonton, kita perlu tampilkan kelainan dan penambahan karakter.
"Cuma satu saja, abang harap watak Husin lakonan Awie itu akan kekal sampai sekuel filem itu selesai. Bagi abang, Awie adalah seorang pelakon versatil," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment