LISA Surihani boleh dikategorikan sebagai salah seorang pelakon wanita tempatan yang paling popular ketika ini berdasarkan 12 filem yang dilakonannya sejak tahun 2007. Selain itu, populariti Lisa turut diukur menerusi jumlah peminatnya yang saban hari, bertambah ramai.Buktinya, wanita yang berusia 25 tahun ini mengakui, dia berjaya mengumpul sebanyak 1.2 juta peminat menerusi laman sosial facebooknya.
Lisa berkata, dia berbangga dengan sokongan para peminat terhadap dirinya dan akan menggunakan populariti itu bagi menarik mereka menonton filem-filem lakonannya yang ditayangkan di pawagam pada masa akan datang.
"Kalau tidak ada peminat, bagaimana seseorang pelakon itu mahu menarik penonton untuk menonton filem-filem lakonannya di pawagam? Begitu jugalah dengan saya. Bagaimanapun, sekarang ini para penonton sudah pandai membuat penilaian antara bakat dan populariti.
"Mereka (peminat) akan menilai sama ada seseorang pelakon itu boleh berlakon atau pun tidak. Merekalah penentu nasib seseorang pelakon atau sesebuah filem itu sama ada mampu dapat membuat kutipan tiket box-office atau tidak.
"Semua itu bergantung atas penerimaan peminat. Bukan saya sahaja yang ada pengikut dalam facebook, tetapi pelakon kanak-kanak seperti Mia Sara yang baru berusia lima tahun pun sudah ada hampir 700,000 peminat di data bilangan peminatnya," ujar Lisa.
Lisa yang ditemui pada majlis doa selamat sebelum bermulanya penggambaran filem terbaru lakonannya, Papa, I Love You berkata, segala yang dikecapinya pada hari ini adalah hasil kerja keras dan kepelbagaian watak yang dilakonkan sejak empat tahun lalu.
Jelas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 ini, dia bukan sahaja bersedia melakonkan pelbagai watak tetapi tidak kisah jika digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki termasuklah kalangan muka baru.
Graduan Undang-Undang dari Aberystwyth University di Wales, United Kingdom ini mengambil contoh, dia tiada sebarang masalah untuk digandingkan dengan Zalif Sidek.
Pemilihan Zalif, pelakon baru berbadan gempal sebagai pasangan Lisa dalam filem Papa, I Love You menimbulkan cakap-cakap yang tidak enak didengar kononnya mereka tidak sepadan.
"Bagi saya, penonton sudah pandai menilai pelakon tanpa mengira fizikal mereka. Apa yang penting jalan cerita sesebuah filem itu menarik dan lakonan mereka mantap.
"Saya sendiri tidak kisah digandingkan dengan Zalif. Saya akan cuba mencari keserasian supaya mudah bagi kami untuk melakonkan watak sebagai suami isteri dalam filem ini," tuturnya.
Papa, I Love You arahan Hashim Rejab terbitan MIG Productions memulakan penggambaran sejak 14 Mac lalu selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur, merupakan filem genre drama dan komedi.
Zalif Sidek, 25, yang ditemui tidak berkecil hati apabila dikatakan kurang sesuai digandingkan dengan Lisa dalam filem tersebut. Sebaliknya dia mahu membuktikan kelainan itu mampu menarik perhatian para penonton.
"Mulanya saya rasa takut menerima tawaran berlakon dalam filem ini. Tetapi penerbit, David Teo mahukan kelainan, dia mahu hero filem ini berbadan gempal dan comel.
"Saya tidak pernah rasa rendah diri kerana berbadan gempal sebab dengan badan begini, saya mendapat tawaran berlakon termasuk iklan,
"Papa, I Love You ialah filem kedua saya selepas Bini-Biniku Gangster. Saya memang berdebar untuk jadi hero dalam filem ini nanti" jelasnya yang pernah menjadi model iklan Astro First dan DiGi. - Utusan
No comments:
Post a Comment