TERASA pantas masa berlalu dan tanpa disedari, program realiti pencarian pelawak pelapis negara, Raja Lawak musim kelima (RL5) sudah menghampiri ke kemuncaknya.Bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, Selangor, malam ini bakal menyaksikan seorang lagi peserta dari program tersebut akan dijulang sebagai juara, sekali gus menempatkan diri bersama empat juara RL lain iaitu Yusry Edoo atau Yus (RL1), Ahmad Nabil Ahmad (Nabil - RL2), kumpulan Sepah (RL3) dan kumpulan Kecik (RL4).
Persoalannya kini, siapakah di antara tiga finalis RL5 ini iaitu kumpulan Balas, Man dan kumpulan R2 yang akan menjadi pilihan peminat untuk diangkat sebagai juara?
Memang tidak dapat dinafikan lagi, ketiga-tiga finalis ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam mempersembahkan lawak jenaka mereka kepada khalayak. Jika tidak, mana mungkin untuk mereka mara ke peringkat akhir.
Bukan hanya ketiga-tiga mereka, tetapi boleh dikatakan RL5 menyaksikan pertarungan yang cukup sengit setiap minggu kerana bakat yang ditampilkan dalam musim ini semuanya berada atas landasan tersendiri.
Cuma, nasib sahaja tidak menyebelahi mereka yang tersingkir lebih awal untuk berjuang di pentas akhir. Semuanya adalah soal rezeki dan apabila menyerahkan kuasa pemilihan kepada masyarakat, ia adalah sesuatu yang sukar diramal.
Petang Isnin lalu, Hits berkesempatan bertemu dan menyelami perasaan tiga finalis RL5 ini di Country Height Kajang, Selangor. Baik kumpulan Balas, Man dan kumpulan R2, semuanya mahu memburu gelaran juara yang dirasakan mampu membawa mereka ke satu tahap yang lebih tinggi.
Dengan dua tugasan yang menampilkan tema muzikal dan bebas, Balas, Man dan R2 sudah bersedia untuk menggegarkan pentas SACC dengan persembahan mereka nanti.
Lebih mencabar apabila mereka juga akan bersaing dengan juara dan finalis dari empat musim RL dalam pertandingan Maharaja Lawak yang akan bersiaran tidak lama lagi. - Utusan
No comments:
Post a Comment