KOTA BHARU 6 Feb. – Seorang bapa kepada tujuh anak dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun bermula hari ini oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah merogol seorang wanita lembam sehingga mangsa melahirkan anak lelaki kira-kira lima tahun lalu.
Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan tersebut selepas Mokhtar Hassan, 53, didapati bersalah merogol mangsa yang ketika itu berusia 18 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Kampung Berdang, Jeli pada April 2006.
Mengikut pertuduhan, kejadian pada waktu pagi itu hanya disedari seorang kakak mangsa beberapa bulan kemudian selepas melihat perut adiknya semakin membesar akibat mengandung.
Tertuduh ditangkap tidak lama kemudian selepas keluarga mangsa membuat laporan polis.
Mangsa kemudiannya melahirkan seorang bayi lelaki pada 12 Februari 2007 dan bayi itu disahkan anak tertuduh.
Akibat kesalahan itu, Mokhtar yang mempunyai seorang anak sedang menuntut di institusi pengajian tinggi dan dua lagi di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - Utusan
No comments:
Post a Comment