KUALA KRAU 27 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pas sepatutnya bekerjasama dengan UMNO untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan umat Islam di negara ini dan bukannya memilih DAP untuk bersahabat.
Tegas Perdana Menteri, beliau hairan bagaimana Pas sanggup bersekongkol dengan DAP sedangkan parti terbabit secara jelas menentang kewujudan negara Islam di Malaysia.
"Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh (sekarang Pengerusi) pernah menegaskan supaya langkah mayatnya dulu jika Pas mahu mewujudkan negara Islam.
"Semua pemimpin Pas membisu apabila Karpal kata begitu," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Warga Felda Jengka 23 di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Pada majlis itu, Najib turut merasmikan gelanggang futsal terbuka, dewan orang ramai, pusat jalur lebar dan merasmikan pecah tanah kilang Biomass Felda Jengka 9 secara maya.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan penipuan pihak pembangkang.
Antara penipuan yang dilakukan oleh pembangkang termasuk isu 16 September yang mengaitkan pembentukan kerajaan pembangkang bagi menggantikan kerajaan BN.
Berikutan isu tersebut, jelas beliau, semakin ramai pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar daripada parti tersebut.
"Bolehlah dikatakan daripada timbalan presidennya, setiausaha agung, enam ahli Parlimen hingga ke peguam peribadi, semua telah meninggalkan parti itu," katanya.
Sementara itu, ketika berucap di Felda Jengka 25, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak meniru atau terpengaruh dengan pergolakan politik yang berlaku di Mesir.
Tegas Najib, senario politik di Mesir adalah jauh berbeza dengan Malaysia kerana negara ini mengamalkan sistem pilihan raya yang telus dan adil.
"Jika tidak adil, mana mungkin BN tewas di beberapa negeri. Kalau sistem politik Mesir diamalkan di negara ini, pemimpin BN tidak perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya," katanya.
Terdahulu ketika berucap di Felda Jengka 22, Najib memberitahu, hubungan akrab dengan Arab Saudi memudahkan operasi penghantaran pulang pelajar dari Mesir ke tanah air.
"Oleh kerana kita mempunyai hubungan yang cukup akrab, Raja Abdullah membenarkan Malaysia menggunakan lapangan terbang di negara itu tanpa had. Boleh mendarat dan terbang pada bila-bila masa," jelasnya. - Utusan
* DAP bekerjasama dengan PAS, Umno bekerjasama dengan Yahudi (APCO)...
No comments:
Post a Comment