28 February 2011

Nor Aidora: Tolonglah jangan marah saya

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Berbanding saksi-saksi lain dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saksi pendakwa keenam, Nor Aidora Saedon (gambar) benar-benar berbeza atau boleh disifatkan sebagai 'unik'.

Tingkah lakunya amat bersahaja, manja dan sering tersenyum malah ada media yang menganggap ahli kimia itu seorang yang comel sewaktu memberi keterangan dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, perlakuan wanita tersebut barangkali menjengkelkan peguam bela, Ram Karpal Singh sehingga menganggap saksi itu tidak serius semasa memberi keterangan.

Pada peringkat awal sesi soal balas, selepas berlakunya perdebatan antara peguam itu dengan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi tersebut yang akan genap berusia 38 tahun dalam tempoh lapan bulan lagi dengan manja meminta agar peguam itu tidak 'marah-marah'.

NOR AIDORA (NA): Saya tahu awak marah, tolong jangan marah pada saya.

RAM KARPAL (RK): Tak, saya tak marah. Kalau saya marah, awak akan tahu.

Keadaan itu mengundang gelak ketawa daripada semua yang berada di galeri awam dan Anwar yang duduk di kandang tertuduh.

Sewaktu menjelaskan mengenai asid deoksiribonukleik (DNA) dan locus, Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia itu sekali lagi mewarnai suasana apabila secara tiba-tiba bertanya kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah:

"Yang Arif, faham tak?"

Bagaimanapun, apa yang menarik ialah melihat cara lulusan Universiti Malaya (UM) dan pemegang Ijazah Sarjana dari sebuah universiti di New Zealand itu menangani asakan-asakan pertanyaan Ram Karpal.

Beliau dilihat tidak mudah melatah dan kadang kala ketawa kecil; mungkin bagi menenangkan dirinya.

Bagaimanapun, apabila menjelaskan mengenai ujian profil DNA yang dijalankan, wanita itu dilihat begitu yakin.

Pada satu ketika, mungkin akibat tidak tahan dengan pertanyaan peguam itu yang bertubi-tubi dalam nada yang keras, saksi itu dengan selamba meminta Ram Karpal agar lebih berhemah.

NA : Boleh tak awak jangan menjerit? Saya di sini untuk membantu mahkamah. Saya perlu beri penjelasan tetapi awak tak bagi saya jelaskan.

Sebelum prosiding mahkamah berhenti pada pukul 4 petang, Nor Aidora sekali lagi secara selamba menjadikan Hakim Mohamad Zabidin sebagai contoh.

"DNA sentuhan (trace DNA) ialah DNA yang diperoleh daripada sesuatu permukaan yang telah disentuh. Contohnya, kalau saya ambil cermin mata Yang Arif dan buat calitan padanya, itu DNA sentuhan," katanya.

Jawapannya itu menyebabkan hakim terbabit yang pada mulanya kelihatan serius, tersenyum dan tertawa kecil. - Utusan

No comments:

Post a Comment