26 November 2010

Shamsul, Zuraida kekal ketua sayap AMK, Wanita PKR


Shamsul Iskandar (tiga dari kiri) bersama barisan kepimpinan baru AMK selepas keputusan diumumkan di Petaling Jaya hari ini. — Gambar oleh Jack OoiPETALING JAYA, 26 Nov — Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang diumumkan berjaya mengekalkan jawatan ketua Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, beliau menerima teguran timbalan presiden bahawa sayap itu lemah dan longgar dengan fikiran terbuka.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin pula mengekalkan jawatan ketua Wanita PKR.

Shamsul Iskandar berkata, beliau memberi jaminan akan memperbaiki segala kelemahan yang wujud dalam sayap pemuda PKR itu.

“Kita akan melakukan perubahan besar dalam AMK, kita akan pikul segala tanggungjawab dan kita juga akan memberikan tumpuan dalam membantu parti ke Putrajaya.

“Hari ini saya buka pintu kepada semua pihak untuk memberikan cadangan dan pandangan, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13,” kata Shamsul Iskandar ketika menyampaikan ucapan penangguhan kongres PKR di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berjaya mengekalkan jawatan ketua sayap pemuda PKR dengan mengatasi pencabarnya ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap AMK Mohd Yahya Mohd Shaari selepas menerima senarai nama pemenang daripada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah.

Bagi jawatan timbalan ketua AMK ia dimenangi Khairul Anuar manakala jawatan naib ketua AMK disandang Azmizam Zaman Nuri, Erveana Ansari Ali dan Chan Ming Kai.

Dua puluh ahli Majlis Pimpinan AMK yang baru terdiri daripada Abdul Rahman Abdul Hackeem, Natassia Sarah, Zulhaidah Suboh, Zafril Mohd Eusoff, Mohamad Azihan Che Seman, Azman Yusof, Ginie Lim, Sangetha Jayakumar, Muhammad Najmi Samsudin, Jafery Jamion, Azwan Ramli, Rajan Rajan Naidu, Farhan Ibrahim, Md Zaman Md Tasi, Sachithananthan Krishnan, Ong Chin Wen, Mohamad Nazri Ismail, Ramlan Roes, Hamsah Djabir dan Ng Shy Ching.

Bagaimanapun undi diperoleh setiap calon tidak diumumkan.

Shamsul Iskandar ketika bercakap kepada The Malaysian Insider berkata, akan berusaha untuk memperkuatkan sayap pemuda PKR itu.

“Teguran beliau (Syed Husin) setiap tahun nadanya lebih kurang sama tapi saya yakin beliau telah melihat perubahan yang positif berlaku dalam AMK.

“Teguran itu saya anggap sebagai teguran membina dan motivasi kepada AMK. Saya tidak rasa teguran begitu serius tapi kita akan menerima setiap teguran tersebut,” katanya.

Beliau berkata struktur organisasi AMK telah melakukan perubahan yang besar sejak tahun lalu.

Ketika perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR pagi tadi, Syed Husin berkata susunan organisai AMK masih lagi lemah dan longgar.

“Susunan AMK masih lemah dan longgar. Banyak AMK di cabang tertentu kurang bermaya dan hampir tidak bergerak.

“Malah kelihatan unsur berpuak-puak yang lebih buruk, unsur ini kena ditangani dengan selalu berbincang serta bermesyuarat. Akan tetapi tiada yang lebih baik dari memperbanyakkan kegiatan yang melibatkan semua pihak,” katanya.

Dalam kongres tersebut turut dilantik pengerusi tetap AMK yang baru yang kini disandang Suhaimi Shafie manakala timbalan pengerusi tetap pula dipegang Lau Teck Lai.

Zuraida memperoleh majoriti 4,382 undi untuk menewaskan Dr Suraya Sudin dan Animah Ferrar.

Zuraida menerima 5,835 undi manakala Suraya memperoleh 1,453 undi manakala Animah 1,310 undi.

Timbalan Ketua Wanita Rodziah Ismail menerima 6,515 untuk menewaskan Asmah Abd Kadir yang mendapat 1,591 undi.

Tiga calon yang menang kerusi naib ketua Wanita ialah Gan Pei Nie (4,363), Haniza Talha (4,162) dan Noor Sham Abu Samah (3,329).

Seramai 20 ahli Majlis Pimpinan Wanita yang baru ialah Daroyah Alwi, Chua Yee Ling, Nurin Aina, Juwairiya Zulkifli, Ain Eusoff, Yogayswari Ramalu, Salmah Ismail, Fathmawathy Salim, Armah Alias, Poziyah Hamzah, Tan Poh Lai, Ramlah Bee, Halimah Mamat, Norhesni Ismail, Nurhanim Datuk Hj Mokhsen, Juliana Jusit, Vasanthi Ramalingam, Sanmah Lisut, Felicia Ling dan Nanie Jamil.

Kongres Nasional PKR akan berlangsung selama dua hari mulai esok.
-TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment