26 November 2010

DEB: Nurul bidas Ezam kelirukan rakyat


Nurul Izzah Anwar membidas bekas ketua pemuda PKR Senator Ezam Mohd Nor kerana cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaksa beliau menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Merujuk kepada kenyataan terbaru Ezam Mohd Nor yang berdasarkan fitnah dan bukan fakta bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perosak perpaduan negara dan juga telah memaksa beliau untuk menghina DEB sebenarnya adalah satu usaha mengelirukan rakyat,” kata beliau.

Kata Nurul Izzah, pegangan dan pandangan Anwar mengenai DEB sememangnya jelas dan jitu di mana beliau tidak persoalkan tujuan DEB, tetapi mempersoalkan pelaksanaan dan penyelewengan untuk keuntungan golongan kecil bergelar kroni.

“Mungkin DEB mesti ditukarkan namanya kepada DEK iaitu Dasar Ekonomi Kroni?” kata beliau.

Nurul Izzah menambah, Anwar yang juga Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat telah mengupas dengan teliti bahawa penyelewengan pelaksanaan DEB untuk keuntungan kroni telah merugikan rakyat apabila negara menghadapi kehilangan keyakinan dunia dengan kemerosotan FDI yang parah, kelemahan sistem pendidikan yang hanya mampu melahirkan golongan pekerja yang 80 peratus berkelulusan SPM, ketirisan ekonomi melalui penswastaan dan pemberian konsensi penjanaan kuasa dan lebuh raya tol yang berat sebelah, pembaziran melalui projek-projek mega, pemberian komisyen tinggi untuk pembelian oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan kejatuhan pendapatan rakyat, penghijrahan tenaga profesional ke luar negara dan tahap hutang negara yang membimbangkan, kesemuanya telah melemahkan daya saing negara dengan tenatnya.

“Dan pendekatan Datuk Seri Anwar telah terbukti kebenarannya apabila kerajaan dalam Model Baru Ekonomi telah menyatakan akan melaksanakan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan dan bukan perkauman seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat selama ini,” katanya.

Dalam satu ceramah di Klang kelmarin, Ezam menyifatkan Anwar sebagai ancaman sebenar kepada kestabilan kaum dan masa depan negara berdasarkan percaturan politiknya.

Menurut Ezam, Anwar melakukan pembohongan serta membangkitkan perasaan kebencian antara kaum hanya untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Katanya, tindakan Penasihat PKR itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia jelas bertentangan dengan semangat dan perjuangan pemimpin terdahulu yang membentuk perpaduan dengan sifat kejujuran, kasih sayang serta prinsip setiakawan.

“Kita tidak boleh bina negara ini dengan pembohongan, sifat tidak jujur dengan menyatakan perkara-perkara yang palsu.

“Anwar merupakan seorang yang paling bahaya, dia akan rosakkan kita (Melayu, Cina dan India) dengan pembohongan. Adakah orang seperti ini mahu kita jadikan sebagai pemimpin negara,” katanya ketika berucap dalam ceramah bertajuk ‘Siapakah Anwar Ibrahim’ anjuran MCA Bahagian Klang.

Tambah Ezam, percaturan politik tidak bertanggungjawab Anwar itu dilihatnya sendiri apabila pemimpin pembangkang itu mengarahkannya untuk ‘menyerang’ DEB kononnya sebagai punca kepada amalan rasuah di negara ini.

Mengenai bahaya salah guna kuasa, kata Nurul Izzah, rakyat dapat melihat dan menjadi saksi bagaimana institusi kehakiman dipergunakan untuk meneruskan tuduhan fitnah dan palsu kes liwat kali kedua terhadap Anwar.

“Proses siasatan dan bahan bukti yang tidak mengikut piawaian asas keadilan hanya menambah kehilangan kepercayaan bukan sahaja rakyat tetapi seluruh dunia terhadap kerajaan cukup mengaibkan,” katanya.

Oleh itu kata Nurul Izzah, beliau amat pelik apabila Ezam yang menjadi pengasas badan antirasuah, Gerak dan ketika itu cukup bangga menerima gelaran “Pejuang Rasuah No. 1” telah bertukar nada daripada ‘Kotak Rahsia’ kepada ‘Katak Rasuah’ dengan propaganda untuk menjadi pelindung, pejuang dan pencanang amalan rasuah politik BN, rasuah ekonomi DEB dan rasuah kuasa kehakiman pula.

“Oleh itu, siapa sebenarnya berbahaya kepada BN dan siapa sebenarnya berbahaya kepada negara?” katanya beliau.

Kata Nurul Izzah, Anwar adalah sebenarnya pemimpin yang telah melahirkan sebuah parti politik berbilang kaum, yang telah dikembangkan menjadi Pakatan Rakyat, yang komited kepada falsafah ‘Ketuanan Rakyat’ berbanding dengan falsafah BN yang pada pokoknya berpegang kepada ‘Ketuanan Umno’, yang mengamalkan rasuah politik untuk memaksa parti-parti berdasarkan kaum seperti MCA dan MIC untuk bertuankan Umno.

Pendekatan Pakatan Rakyat ini telah pun disahkan kemurniannya apabila baru-baru ini Umno telah menggunakan rasuah politik terbaru dengan membuka keahlian terus ke dalam BN, kata Nurul Izzah yang baru-baru ini muncul tempat pertama dalam saingan jawatan naib presiden PKR.

- TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment