26 November 2010

Jumpa saya kalau pertikai rekod keahlian, cabar Syed Husin


Syed Husin berkata beliau mempunyai bukti keahlian PKR adalah 400,000 seperti didakwa. — Gambar oleh Jack OoiPETALING JAYA, 26 Nov — Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali menegaskan, jumlah sebenar ahli parti itu telah melebihi 400,000 orang, sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak termasuk beberapa bekas pemimpinnya.

Sehubungan itu, Syed Husin mencabar mana-mana pihak yang mempersoalkan jumlah ahli agar menemui beliau bagi melihat sendiri rekod ahli parti.

“Kepada mana-mana pihak yang mempersoalkan jumlah tersebut silalah datang jumpa saya di pejabat saya dan lihat sendiri di komputer berapa jumlah sebenar ahli kita.

“Datanglah tengok berapa jumlah ahli PKR, 70,000 ke? 100,000 ke? Datang jumpa saya,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR di sini.

Beliau berkata parti itu mempunyai bukti bahawa jumlah sebenar ahli melebihi daripada 400,000 orang.

“Kita ada bukti, ahli kita memang seramai itu (400,000). Saya rasa pihak yang mempersoalkan jumlah ahli kita ini ada agenda.

“Tapi saya yakin akhirnya kebenaran akan muncul juga,” katanya.

Syed Husin akan melepaskan jawatan timbalan presiden PKR Ahad ini. Beliau telah menyandang jawatan tersebut sejak 2003.

Keputusan rasmi pemilihan pusat hanya akan diumumkan pada Ahad ini sempena Kongres Nasional PKR.

Dakwaan PKR kononnya ia mempunyai sehingga 400,000 anggota menjadi tanda tanya banyak pihak termasuk ramai bekas pemimpin parti itu sendiri.

Menurut mereka, sehingga kini dakwaan itu gagal dibuktikan sama ada menerusi rekod bertulis mahupun pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berakhir Ahad lepas yang menyaksikan hanya 10 peratus daripada jumlah yang dikatakan anggota parti keluar mengundi.

Bekas setiausaha sulit Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata saiz keanggotaan PKR itu amat diragui bahkan sebelum beliau keluar dari parti itu pada Mei 2007, tiada satu rekodpun ditunjukkan bahawa parti itu mempunyai ahli sebanyak itu.

“Setiausaha agung dulu (Datuk Salehuddin Hashim) tidak pernah menunjukkan rekod jumlah keahlian dan setiausaha sekarang ini (Saifuddin Nasution Ismail) pun tak pernah tunjuk. Jadi ini amat meragukan.

“Kalaulah betul ada ahli sebanyak yang dikatakan, buktikanlah. Daripada pemilihan MPP pun, yang mengundi Azmin Ali (calon timbalan presiden) tak sampai lima peratus pun,” katanya.

Anuar berkata sekiranya benar anggota PKR sebesar itu, ini bermakna sebahagian besar tidak mengambil bahagian dalam proses pemilihan parti, maka ini dilihat sebagai satu protes secara halus.

Mengikut keputusan tidak rasmi, Azmin yang kini Naib Presiden PKR, dipilih sebagai timbalan presiden mengalahkan seorang lagi Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub.

Jawatan Presiden kekal dipegang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menang tanpa ditandingi.

Sementara itu Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, pula terpilih sebagai naib presiden.

Selain Anuar, bekas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd Nor berkata beliau tidak mengetahui jumlah anggota PKR selepas meninggalkan parti pada 2006, jika berdasarkan jumlah keanggotaan yang ada, sepatutnya lebih ramai anggota yang mengundi pada pemilihan MPP.

“Sekiranya benar, sudah pastinya calon yang menang tidak diberikan mandat oleh ahli untuk memimpin parti berdasarkan kepada peratusan kecil yang keluar mengundi,” katanya.

Ezam tidak menolak kemungkinan bahawa peratusan mengundi rendah disebabkan anggota PKR merasa diperalatkan untuk mencapai matlamat politik individu tertentu.

PKR sebelum ini mengatakan mempunyai ahli seramai 400,000.

- The malaysian insider

No comments:

Post a Comment