25 November 2010

Pemberian dibatal jika nelayan seleweng

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bertindak tegas membatalkan pemberian diesel subsidi kepada mana-mana nelayan yang didapati terlibat menyelewengkan bahan bakar itu.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, lesen pengusaha stesen minyak yang membekalkan diesel subsidi kepada nelayan juga akan dibatalkan dan stesen mereka diarahkan ditutup sekiranya dikesan melakukan perbuatan itu.

"Ini adalah antara tindakan pentadbiran yang kita lakukan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana kita tidak ada kuasa untuk menahan atau menangkap pihak yang terbabit dalam kes penyelewengan ini.

"Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menahan mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas penahanan 19 individu oleh SPRM kerana disyaki terlibat melakukan penyelewengan diesel subsidi dalam operasi yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Noh berkata, kajian bagi menstruktur semula pemberian subsidi bahan bakar kepada para nelayan kini sudah berada di peringkat akhir sebelum ia dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

Beliau berkata, penstrukturan semula pemberian subsidi itu akan dapat mengelak berlakunya penyelewengan terhadap diesel subsidi pada masa depan.

"Perbincangan dengan persatuan nelayan dan pelbagai pihak lain sedang diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai penstrukturan semula mekanisme subsidi itu," katanya.

Kerajaan melaksanakan pemberian diesel subsidi mulai 1 Januari 2006 dengan memperkenalkan penggunaan kad pintar kepada nelayan bagi tujuan pembelian diesel subsidi dengan harga RM1.00 seliter.

Ketika ini, pengagihan diesel dilakukan menerusi LKIM kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Persatuan Nelayan Negeri dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Noh berkata, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk membolehkan kos pengangkutan bagi subsidi diesel di bahagian darat iaitu dari stesen minyak ke depot nelayan ditanggung oleh stesen minyak itu sendiri.

Katanya, penstrukturan semula itu bukan sahaja melibatkan aspek pemberian diesel subsidi tetapi juga dalam pemberian bantuan lain kepada golongan tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment