25 November 2010

Lagi 13 individu ditahan


KUALA LUMPUR 24 Nov. – Seramai 13 lagi individu dari tiga negeri ditahan hari ini kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan.

Selain tangkapan baru itu, sebanyak 21 premis industri di seluruh negara yang membeli diesel bersubsidi turut disiasat.

Menurut Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah, lapan individu daripada jumlah tangkapan baru itu ditahan di Sarawak, Perak (tiga) dan Pahang (dua), turut melibatkan pengusaha jeti, pemilik bot, tangki minyak haram, depot dan persatuan nelayan kawasan (PNK).

“Sebanyak dua premis industri di Pahang, Sarawak (empat), Kedah (lima) dan Perak (10) sedang disiasat kerana dipercayai membekalkan minyak bersubsidi kepada individu yang tidak sah.

“Sekiranya didapati bersalah, pemilik premis industri terbabit boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, seramai 19 individu ditahan di seluruh negara kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan di seluruh negara, sejak Jun lalu.

Dalam kira-kira 20 serbuan yang dijalankan bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, sebanyak 414,000 liter diesel bersubsidi berjaya disita.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel bersubsidi sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Kegiatan menyeleweng sebahagian diesel bersubsidi digambarkan berada pada tahap serius apabila dikatakan lebih 1 bilion liter diesel berkenaan disalurkan kepada persatuan nelayan.

Mohd. Jamidan berkata, siasatan pihaknya menjurus kepada penawaran suapan sama ada kepada PNK atau pegawai penguat kuasa KPDNKK.

“Kes-kes yang melibatkan suapan itu berlaku sama ada peras ugut atau memastikan kelancaran urusan bekalan diesel terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, SPRM masih mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan haram terbabit di seluruh negara. - Utusan

No comments:

Post a Comment